Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

112) KEMPEN TANPA PLASTIK

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan tempoh pelaksanaan kempen tersebut.

    Tuan Speaker,

    Pertanyaan ini dijawab bersekali dengan soalan 170 (b) daripada YB Tuan Loh Chee Heng (N52 Telok Datok) berkaitan Kutipan Caj 20 Sen Beg Plastik di Selangor

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan kempen tanpa plastik bermula pada 1 Januari 2010 dimana kempen tersebut dilaksanakan pada setiap hari Sabtu di pasaraya-pasaraya besar. Manakala, pada tahun 2013 pelaksanaan kempen ini diperluaskan di bazar-bazar Ramadhan dengan kerjasama semua PBT. Larangan penggunaan beg plastik di majlis-majlis rasmi anjuran Kerajaan Negeri Selangor pula mula dilaksanakan pada tahun 2015. Pada tahun 2016, MMKN 21/2016 telah meluluskan Cadangan Pengurangan Penggunaan Beg Plastik dan Polistirena dan Kempen Bebas Plastik untuk dilaksanakan setiap hari bermula 1 Januari

    Sehubungan itu, bermula 1 Januari 2017, semua jenis perniagaan di Negeri Selangor tidak lagi dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan untuk menghentikan penggunaan bekas makanan dan peralatan polistirena di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

  2. Nyatakan jumlah keseluruhan kutipan 20sen sejak ia diperkenalkan.

    Laporan kutipan yang diterima oleh Kerajaan Negeri sejak kempen ini dilaksanakan bermula 1 Januari 2017 sehingga bulan Februari 2018 adalah sebanyak RM7,199,407.66 (Ringgit Malaysia: Tujuh Juta Satu Ratus Sembilan Puluh Sembilan Ribu Empat Ratus Tujuh Ringgit dan Enam Puluh Enam Sen). Pecahan kutipan adalah seperti berikut:

     

    BIL. TAHUN JUMLAH KUTIPAN (RM)
    1. Januari – Disember 2017 6,217,663.40
    2. Januari – Februari 2018 981,744.26
    JUMLAH 7,199,407.66
  3. Nyatakan kegunaan wang tersebut secara terperinci.

    Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen tersebut bagi melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar. Selain itu, para peniaga di Selangor turut melaksanakan program berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan seperti:

     

    • Pembersihan dan mencantikkan Sungai Klang dan program pembersihan pantai;
    • Pengedaran recycle bag secara percuma di pasaraya;
    • Kempen kebajikan dan pemberian sumbangan di rumah anak yatim, orang tua dan pertubuhan kebajikan;
    • Menjalankan sumbangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan miskin;
    • Pemberian sumbangan sempena Hari Raya kepada golongan asnaf dan pemberian bubur lambuk secara percuma; dan
    • Sumbangan kepada keluarga miskin sempena perayaan Tahun Baru Cina.

     

    Setakat ini Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk membatalkan Kempen Bebas Plastik dan Polistirena walaupun ada pihak yang membantah pelaksanaan kempen ini. Ini adalah kerana kempen ini merupakan satu inisiatif yang baik terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan sekaligus memberikan kesan jangka panjang terhadap kebersihan dan kesihatan penduduk di Negeri ini. Malahan terdapat kesedaran di kalangan masyarakat tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar di mana rakyat kini lebih selesa membawa sendiri recycle bag untuk membeli belah.

    Selain itu, sejak diperkenalkan pada bulan Januari 2010, kempen ini juga mendapat sambutan yang amat baik dari pertubuhan bukan kerajaan dan pengguna. Apa yang perlu ditekankan adalah sokongan dan kerjasama dari kalangan pemimpin-pemimpin negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan rakyat negeri Selangor untuk sama-sama ke arah menjayakan kempen ini demi kesejahteraan generasi yang akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.