Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

119) POLITIK DI MASJID DAN SURAU

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan pihak JAIS bagi mengatasi masalah pelantikan pegawai masjid yang terang dan jelas telah dimonopoli oleh parti politik?

    Pihak MAIS telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang memegang apa-apa jawatan utama dalam parti politik tidak dibenarkan untuk dilantik sebagai pegawai dan jawatankuasa masjid.

    Setiap calon Nazir dan Imam juga akan ditemu duga oleh Panel Penemu duga yang dilantik oleh MAIS selain akan melalui tapisan Panel Pencalonan Dan Pemilihan Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Yang Dihormatkan Orang Besar Daerah.

  2. Apakah tindakan JAIS untuk mengatasi masalah penceramah yang tidak bertauliah yang masih lagi bebas mengajar dan memburukkan kerajaan PH di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor?

    JAIS telah menetapkan bahawa hanya individu yang diberi tauliah atau yang mendapat kebenaran khas mengajar dari JAIS sahaja dibenarkan mengajar tentang agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di mana-mana tempat di Negeri Selangor. Mereka yang diberi tauliah dan mendapat kebenaran khas turut tertakluk tidak dibenarkan berceramah kepartian dalam sesi-sesi pengajaran yang dilakukan. Buat masa ini tiada laporan rasmi diterima oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan atau Bahagian Dakwah dari pihak masjid atau surau atau orang awam berhubung ada penceramah tanpa tauliah yang memburuk-burukkan Kerajaan PH di masjid dan surau di Negeri Selangor.

    Bagaimanapun usaha-usaha akan dibuat bagi meningkatkan fungsi pentadbir masjid dan surau dan kesedaran orang awam agar mengambil tanggungjawab yang sama bagi mengekang dan menghalang ceramah kepartian, menfitnah dan mengadu domba dari penceramah yang memiliki tauliah dan bukan tidak memiliki tauliah.

    Pegawai masjid adalah individu yang mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan kepada individu terlibat dengan perkara ini. Penguatkuasa juga kini lebih agresif bertindak kepada suatu aduan yang bertanggunjawab terhadap perkara ini. Gabungan penguatkuasa yang tegas dan berkesan serta kesedaran  pentadbir masjid dan surau dan orang awam dalam menghalang perkara ini dari terus berlaku sedang berjalan dan diusahakan dari semasa ke semasa untuk menjadi lebih berkesan. Akhirnya, JAIS akan berjaya menjadikan masjid dan surau dihidupkan dan diimarahkan dengan fungsi ilmu yang mengajak manusia untuk beramal soleh dan bersatu padu selain fungsi dakwah, fungsi ibadah dan fungsi khidmat kemasyarakatan kepada pelbagai agama dan ras di kariahnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.