Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
29) PELANTIKAN KONTRAKTOR SENARAI HITAM KONTRAKTOR
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagi penaiktarafan kawasan awam (e.g. pembinaan jalan raya), apakah nilai projek yang menentukan pelantikan kontraktor dilakukan oleh Kerajaan Negeri atau PBT?
Berdasarkan kepada amalan semasa, pelantikan kontraktor bagi sesuatu projek penaiktarafan kawasan awam seperti pembinaan jalan raya yang berada di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dilaksanakan oleh pihak PBT sendiri jika menggunakan sumber pembiayaan dalaman PBT tersebut. Namun, kaedah pelantikan kontraktor bagi projek yang dibiayai oleh agensi luar adalah bergantung kepada syarat dan garis panduan yang diberikan oleh agensi tersebut. Contoh agensi pembiaya selain PBT adalah seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan lain-lain agensi. Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa penentuan agensi yang mengurus pelantikan kontraktor bagi projek penaiktarafan awam tidak dibuat mengikut nilai sesuatu projek.
-
Secara am, bilakah kita boleh menyenarai hitamkan kontraktor dan bagaimanakah prosedur menyenarai hitamkan kontraktor dilakukan?
Sebagai makluman, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) adalah agensi yang telah diberi kuasa oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurus bagi pihak Kerajaan tindakan tatatertib ke atas kontraktor yang berdaftar dengan CIDB serta memegang Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) yang gagal mematuhi syarat tawaran atau syarat kontrak yang ditetapkan oleh Kementerian/Jabatan untuk projek-projek Kerajaan. Di dalam hal ini, mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi syarat tawaran atau syarat kontrak oleh Kementerian/Jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib iaitu dikenakan penggantungan sijil pendaftaran. Misalnya, kesalahan pemalsuan dokumen bagi menyertai tawaran tender boleh dikenakan tindakan tatatertib penggantungan sijil pendaftaran selama 2 tahun. Sekiranya pihak kontraktor dengan sengaja menyertai perolehan kerajaan dalam tempoh penggantungan, sijil pendaftaran syarikat akan ditarik balik dan Ahli Lembaga Pengarah/pemilik syarikat akan disenaraihitamkan selama tiga (3) tahun oleh pihak CIDB. Oleh yang demikian, agensi Kerajaan dinasihatkan melaporkan kegagalan kontraktor mematuhi syarat tawaran dan kontrak kepada CIDB agar tindakan tatatertib dan proses senaraihitam dapat dilaksanakan.