Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

14) ISU PEMBAKARAN SAMPAH DAN PEMBUANGAN SAMPAH HARAM

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu pembakaran terbuka dan pembuangan sampah haram?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam memastikan masalah dan isu pembakaran terbuka tidak berulang dengan melaksanakan pelbagai tindakan-tindakan  seperti berikut:-

    1. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh JAS dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah & Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka;
    2. Menjalankan program pemantauan dan rondaan darat oleh JAS ke kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    3. Melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains dengan pelaksanaan “water management system” melalui pembinaan “checkdam” dan pembinaan telaga air tanah (tubewell) di kawasan tersebut supaya  kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan serta mempercepatkan kerja-kerja pemadaman dilakukan;
    4. Melibat dan meningkatkan kerjasama pelbagai agensi dan Jabatan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM, Pihak Berkuasa Tempatan dan RELA bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat  dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang berlaku melibatkan kawasan hutan, tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    5. Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
    6. Merampas tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan
    7. Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
  2. Nyatakan tindakan yang telah dan akan diambil untuk menyelesaikan isu pembakaran terbuka dan pembuangan sampah haram di kawasan Saujana Rawang.

    Bagi kawasan Saujana Rawang, dari Januari sehingga Oktober 2018 sebanyak lima (5) aduan berkenaan pembakaran terbuka telah diterima dan disiasat. Daripada siasatan yang dijalankan didapati pembakaran terbuka ditemui berlaku di tepi jalan dan juga di kawasan rizab sungai. Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan rondaan secara berkala ke kawasan Saujana Rawang bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka dari terus berlaku. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor juga akan memaklumkan dengan segera kepada Pihak MPS supaya mengambil langkah-langkah pencegahan awal sekiranya menjumpai tapak pelupusan sampah haram.

    Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan telah diminta supaya mewujudkan Unit Pemantauan Pembakaran Terbuka untuk memantau, mencari kaedah untuk menghalang dan mencegah kebakaran serta mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan pembakaran di kawasan yang sering berlaku pembakaran terbuka. Pejabat Daerah/ Tanah yang berkenaan juga diarahkan supaya menubuhkan task force bagi mengambil tindakan merampas tanah terbiar yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

Lampiran

Tiada Lampiran.