Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
210) PENGHARAMAN ROKOK ELEKTRONIK (VAPE)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri masih meluluskan lesen premis perniagaan untuk pengusaha menjual rokok elektronik (vape) di Selangor?
Sejak Januari 2016, Pihak Berkuasa Tempatan tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen kepada pengusaha Vape di Selangor.
-
Berapakah lesen permit yang telah diluluskan di setiap PBT?
Kesemua premis yang menjual Vape di Selangor adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan Peraturan- peraturan Makanan 1985 di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehingga kini, sebanyak 6 lesen kekal menjual / memberi perkhidmatan alat elektronik (Vape) yang telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum Januari 2016 iaitu masing-masing 3 buah premis di Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Sabak Bernam.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan mengharamkan penjualan vape di Selangor?
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 2 / 2016 yang diadakan pada 13 Januari 2016 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 3/ 2016 pada 20 Januari 2016 telah mengambil maklum Laporan Bengkel Khas Perbincangan Isu Vape Negeri Selangor yang telah diadakan pada 10 hingga 12 Januari dan bersetuju seperti berikut:
- Selaras dengan surat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 9 Disember 2015, Kerajaan Negeri juga turut bersetuju agar lesen tidak diberikan kepada penjual
- Kerajaan Negeri akan mewartakan semua kawasan larangan merokok di Negeri Selangor sebagai kawasan larangan vape dan penjualan vape tidak dibenarkan kepada pembeli yang berusia 18 tahun ke bawah;
- Semua permohonan lesen baharu yang telah diterima akan dibekukan dalam tempoh satu (1) bulan;
- Dilarang menghisap vape di tempat-tempat awam dan tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan vape; dan
- Penjualan vape dan e-juice hanya dibenarkan di premis di dalam bangunan kedai sahaja.