Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
203) PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGOS)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila kategorikan NGO (mengikut jenis) yang dibantu oleh Selangor dari peruntukan negeri sebanyak RM500 ribu
Program Bantuan Sumbangan Kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) tidak dikhususkan mengikut jenis NGO. Program ini adalah terbuka kepada NGO – NGO di seluruh Negeri Selangor yang berdaftar di bawah Registry Of Society (R.O.S) mengikut ketetapan garis panduan sedia ada. Walau bagaimanapun, keutamaan permohonan adalah diberikan kepada NGO – NGO yang melaksanakan program atau aktiviti kebajikan yang bersasarkan anak yatim, ibu tunggal, orang tua dan orang kurang upaya (OKU). Seperti Yang Berhormat Kajang sedia maklum, peruntukan sebanyak RM500,000.00 telah dibajetkan di bawah program ini pada setiap tahun di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin. Walau bagaimanapun, bagi tahun 2017, peruntukan ini telah dipecahkan kepada lima (5) portfolio di bawah Jawatankuasa berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) seperti berikut :-
PORTFOLIO PERUNTUKAN Kerajaan Prihatin RM100,000.00 Kebajikan RM100,000.00 Pembangunan Generasi Muda RM100,000.00 Pendidikan RM100,000.00 Hal Ehwal Agama Islam RM100,000.00 JUMLAH RM500,000.00 -
Apakah dasar kerajaan untuk berkolaborasi dan memperkasakan NGOs?
Kerajaaan Negeri telah mengambil inisiatif dalam usaha untuk memperkasakan Badan – badan Bukan Kerajaan di Negeri Selangor. Antaranya adalah melalui kolaberasi bersama NGO – NGO bagi menjayakan sesuatu program – program yang menjurus kepada kebajikan rakyat. Dengan kaedah sebegini, jaringan di antara Kerajaan Negeri dan NGO – NGO di Negeri Selangor dapat dipertingkatkan di samping dapat mewujudkan kerjasama yang baik demi membantu rakyat. Kebanyakan program – program dan aktiviti yang dianjurkan melibatkan usahasama ini diserapkan dengan dasar – dasar Kerajaan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dahulunya dikenali dengan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Tidak hanya bekerjasama menganjurkan sesuatu program berkebajikan dengan kerjasama pihak NGO, malahan Kerajaan Negeri turut memberi bantuan sumbangan kepada NGO – NGO ini melalui program yang dikenali sebagai Program Sumbangan Kepada Badan – badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 setahun dan dipecahkan mengikut portfolio sepertimana yang telah diperjelaskan sebentar tadi.
-
Apakah rancangan dan program untuk membawa wanita ke arah professionalisme korporat dan penglibatan globalisasi?
Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat akan perihal wanita di Selangor terutama sekali membawa wanita ke arah profesionalisme dan seterusnya kepada penglibatan globalisasi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh akan Agenda Pembangunan Wanita termasuk dasar 30% penyertaan wanita dalam pembuat dasar bagi melibatkan wanita ke arah profesionalisme.
Manakala, globalisasi merupakan satu proses integrasi antarabangsa dalam segenap bidang ekonomi, industri, pasaran, budaya dan pembuatan keputusan. Cabaran kaum wanita ke arah globalisasi adalah diakui memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi dalam mengangkat martabat wanita ke tahap yang sewajarnya.
Tidak dinafikan, globalisasi memberi kesan terhadap kesaksamaan gender dan kaum wanita terutama dalam aspek ekonomi, dengan situasi pasaran kerja yang mendiskriminasi kaum wanita.
Oleh itu, di peringkat Kerajaan Negeri kita menyedari hal ini dan merancang program serta kempen – kempen advokasi kepada kaum wanita agar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran – cabaran yang mendatang ke arah globalisasi agar peranan wanita akan terus kekal relevan dan menjadi faktor kestabilan serta kelestarian sesebuah negara.
Kempen – kempen kesedaran dan advokasi seperti HeForShe, kefahaman gender, hak-hak dan perundangan wanita, deklarasi – deklarasi antarabangsa (CEDAW, Deklarasi Beijing) bagi mencapai kesaksamaan gender untuk mendepani cabaran globalisasi.