Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
201) KEMPEN BEBAS PLASTIK
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila kemukakan secara detail apakah matlamat utama kempen tersebut
Matlamat utama Kempen Bebas Plastik dan Polistirena ini adalah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik seterusnya bagi menjaga alam sekitar berdasarkan keadaan semula jadi beg plastik yang mengambil masa begitu lama untuk relai. Untuk menjayakan kempen ini, pengguna disarankan untuk membawa beg sendiri semasa membeli belah, namun pihak peniaga boleh membekalkan beg plastik kepada pelanggan yang memerlukan dengan syarat mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM0.20 sepertimana penjualan barangan yang lain. Caj yang dikenakan ini dipercayai dapat membantu keberkesanan kempen melalui penggunaan beg sendiri apabila berbelanja. Kerajaan Negeri juga turut menyarankan peniaga untuk menyediakan kotak kepada pengguna bagi memudahkan urusan pembungkusan barangan yang dibeli dan selain itu peniaga juga digalakkan untuk memberikan insentif khas kepada pengguna yang membawa sendiri beg semasa membeli belah. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengecualikan beberapa produk dan barangan daripada dikenakan caj seperti berikut:
1. Makanan dan Tumbuh-tumbuhan
- Makanan yang mentah
- Ikan, lembu, ayam, khinzir, kambing dan produk-produk daging;
- Makanan untuk haiwan atau kegunaan manusia – contohnya gula- gula, pallet makanan haiwan atau makanan dalam bekas yang tidak cukup selamat untuk mengelakkan kebocoran semasa pengendalian;
- Biji benih tumbuh-tumbuhan yang tidak dibungkus
- Bunga
- Tanaman yang diselaputi tanah (seperti kentang, halia, ubi)
2.0 Produk seperti Ubat-ubatan preskripsi dan bahan racun yang bahaya
- Hidupan akuatik seperti ikan hidup atau spesis akuatik yang lain.
- Makanan yang mentah
-
Sila nyatakan bagaimanakah sambutan pengguna terhadap kempen tersebut dan juga kelemahan yang dikenal pasti.
Pelaksanaan Kempen Bebas Plastik dan Polistirena baru dilaksanakan selama tiga bulan sejak daripada tarikh penguatkuasaanya pada 1 Januari 2017. Pelbagai reaksi positif dan negatif yang telah diterima melalui media massa serta media sosial terhadap pelaksanaan dasar baru ini. Bagi mendapatkan maklumbalas sambutan dan cadangan penambahbaikan untuk memperbaiki kelemahan terhadap kempen ini, Kerajaan Negeri akan menjalankan satu kajian awam berhubung pelaksanaan kempen yang dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan bulan April 2017.
-
Sila nyatakan apakah langkah yang lebih proaktif bakal dilakukan untuk mendidik pengguna menghayati matlamat kempen tersebut.
Bagi memastikan pengguna di Negeri Selangor lebih memahami dan menghayati matlamat kempen ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan aktiviti-aktiviti promosi, pendidikan dan juga turun padang yang melibatkan peniaga, pasaraya dan PBT di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga akan turut melaksanakan program Bazar Ramadhan Mampan pada bulan Mei- Jun di seluruh PBT Negeri Selangor dan program ini akan lebih menekankan pelaksanaan Kempen Bebas Plastik dan Polistirena kepada pengguna di samping aktiviti kepenggunaan yang lain.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan laman web berbentuk pendidikan yang mengandungi pelbagai informasi berhubung pelaksanaan kempen serta dan laman web tersebut boleh dilayari melalui portal www.bebasplastik.my.