Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

149) KOLEJ ANTARABANGSA INPENS

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri memantau kualiti pengajaran Kolej Antarabangsa INPENS? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Kurikulum pembelajaran di INPENS sentiasa dipantau dari semasa ke semasa   oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui beberapa siri lawatan oleh Panel Penilai Pentauliahan Program Kemahiran yang terdiri daripada wakil-wakil industri yang telah dilantik oleh pihak JPK. Terkini pada 8hb Februari 2017 yang lalu, INPENS telah menerima satu lawatan penilaian dan dari hasil pemantauan tersebut, penambahbaikan bagi setiap teguran dan cadangan penilaian telahpun dilaksanakan untuk memastikan kurikulum dan modul pembelajaran di INPENS mematuhi kualiti yang telah ditetapkan oleh Badan Bertauliah. Setiap laporan penilaian dari pihak JPK ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah yang bersidang untuk memastikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah maklum akan perkembangan dan situasi pembelajaran di INPENS.

     

    Selain itu, pihak Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, serta Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang turut mengadakan program-program dan lawatan kerja ke INPENS yang secara langsung turut terlibat dalam pemantauan kualiti pengajaran di INPENS.

  2. Nyatakan bilangan pelajar INPENS mengikut pecahan kaum bagi tahun 2016 dan 2017.

     

    TAHUN MELAYU INDIA CINA JUMLAH
    2016 688 71 15 774
    2017 384 82 8 474
    JUMLAH 1072 153 23 1248

     

  3. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi meningkatkan daya tarikan INPENS terhadap semua kaum terutamanya pelajar Cina?

    Di antara inisiatif yang telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri adalah  meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti tenaga pengajar melalui latihan dan pembangunan ilmu secara berterusan. Setiap tenaga pengajar INPENS diberi pendedahan akan pengetahuan terkini dan kemahiran yang sentiasa relevan dengan industri. Langkah ini dilihat dapat menarik lebih ramai pelajar dari kalangan semua kaum untuk mendapatkan ilmu kemahiran dari INPENS. Selain itu, fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta infrastruktur INPENS sedia ada turut diperkasakan bagi memastikan ia seiring bagi memenuhi kehendak industri dan bersesuaian dengan potensi pelajar-pelajar.

     

    INPENS turut merangka program Technical Apprentice Program (TAP) melalui hubungan kerjasama antara INPENS dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi di dalam industri seperti Antah Schindler Sdn Bhd dan Top Glove Sdn Bhd melalui pihak SHRDC dan Exco Kerajaan Negeri. Dengan pelaksanaan usaha-usaha di atas, INPENS melalui Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang telah mengatur satu Lawatan pengenalan bersama sebuah badan NGO dari kaum Cina untuk mempromosikan INPENS dan usaha seumpama ini akan diteruskan di masa-masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.