Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
35) BANTUAN SOKONGAN KELUARGA (BSK)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa ramai bekas isteri yang telah mendapat manfaat daripada skim Bantuan Sokongan Keluarga?
Bagi tempoh bermula 2009 sehingga Disember 2016, seramai 903 pengadu yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan bekas isteri telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS). Jumlah ini adalah berdasarkan kepada statistik kes atau aduan yang diterima di SBSK bermula dari tahun 2009 semasa unit ini mula beroperasi hingga Disember 2016.
Selain itu, SBSK telah meluluskan seramai 80 orang penerima pendahuluan nafkah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM307,530.00. Sumber kewangan pembayaran pendahuluan nafkah tersebut adalah daripada dana Akaun Amanah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman
Syariah Selangor yang disumbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor.
Pembayaran pendahuluan nafkah yang dibayar oleh SBSK ini bukanlah suatu bantuan mutlak, tetapi ia merupakan suatu pendahuluan nafkah yang akan dikutip semula oleh SBSK daripada pihak bekas suami atau bapa yang telah ingkar untuk melaksanakan perintah nafkah selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang dilakukan di Mahkamah Syariah selesai. Dengan kata lain, pembayaran nafkah oleh SBSK ini bukanlah dengan matlamat untuk mengambil alih tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing menurut undang-undang. Sebaliknya, ia bertujuan untuk membantu meringankan bebanan ibu dan anak-anak dan membantu memastikan perintah Mahkamah Syariah dikuatkuasakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
-
Apakah tahap keberkesanan BSK kepada pasangan yang telah bercerai dan melibatkan pemberian nafkah anak dalam jagaan bekas isteri?
Keutamaan SBSK adalah bagi menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Pewujudan SBSK adalah untuk membantu bekas isteri/ibu tunggal mendapat khidmat nasihat perundangan Syariah secara percuma khususnya berkaitan dengan tuntutan nafkah dan tatacara penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah selepas suatu perintah dibuat oleh Mahkamah Syariah.
Adalah menjadi keutamaan kepada SBSK untuk memastikan kepentingan dan kebajikan golongan yang berhak menerima nafkah terutamanya anak-anak terpelihara. Apabila siasatan dijalankan semasa proses mediasi atau rundingcara dan didapati berlaku pelanggaran perintah seperti bekas suami tidak membayar nafkah, maka tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian akan dibincangkan. Tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah adalah pelbagai termasuklah perintah tahanan pendapatan tenaga (potongan gaji), Saman Penghutang Penghakiman, Notis Penghakiman, penyitaan dan penjualan, hiwalah (penahanan harta penghutang bagi penghakiman melalui pihak ketiga) dan pengkomitan.
Sehingga Disember 2016, sebanyak 606 kes tuntutan nafkah tertunggak telah dibawa ke Mahkamah untuk tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dan sebanyak 449 kes telah selesai. Bakinya masih dalam prosiding Mahkamah. Apa yang ditawarkan oleh SBSK adalah khidmat nasihat guaman secara percuma kepada pelanggan. SBSK juga mengguna pakai aplikasi e-Nafkah bagi memantau perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Ini bagi mengatasi masalah isu kelewatan dalam pengendalian kes-kes penguatkuasaan perintah kehakiman.