Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

141) DAKWAAN MAHKAMAH KEPADA KILANG PENCEMAR SUNGAI SEMENYIH

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh mana tindakan mahkamah kepada sebuah kilang di Lot 1571 Batu 22 1/4 Jalan Sungai Lalang, Semenyih yang disita oleh Kerajaan Negeri pada 4 Oktober 2016 kerana disyaki mencemar Sungai Semenyih?

    1. Tindakan pendakwaan telah diambil terhadap pemilik premis di Mahkamah Sesyen Kajang. Pertuduhan telah difailkan pada Mei 2017 dengan sebanyak enam (6) pertuduhan seperti berikut:-

     

    1. Seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS1999;
    2. Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974;
    • Seksyen 24(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974;
    1. Seksyen 34B(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974;
    2. Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; dan
    3. Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air

     

    Pemilik premis tersebut tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Perbicaraan telah dimulakan dan sebanyak 11 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

     

    Walau bagaimanapun pemilik premis tersebut telah gagal menghadiri perbicaraan pada 14 November 2017. Waran Tangkap telah dikeluarkan terhadap pemilik premis tersebut dan kes ini akan disebut di Mahkamah selanjutnya.

     

  2. Apakah status kedudukan tanah yang disita oleh Kerajaan Selangor berkaitan perkara (a)?

    Pemilik tanah dan pengusaha Lot 1571 Batu 22 ¼ (Pengusaha Depoh Jentera Berat dan aktiviti pemprosesan minyak) telah meremedikan tanah (memulihkan tanah) sama rata dengan paras jalan pada 16 Oktober

    Lawatan tapak terkini bertarikh 22 Oktober 2017 turut dilaksanakan. Keadaan tanah telah dibersihkan dan tiada sebarang struktur bangunan di atasnya. Tanah kerajaan (tanah rezab sungai) yang berdekatan juga telah dibersihkan dan tiada struktur bangunan lagi.

     

  3. Apa yang dilakukan terhadap barang-barang yang dirampas dan berapakah nilai rampasan tersebut?

    Barang-barang yang dirampas terdiri daripada tanah-tanah tercemar (contaminated soil) kesan daripada pembuangan Bahan Terjadual yang tidak mengikut proses dan prosedur pelupusan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Selain daripada itu, Lembaga Urus Air Selangor turut merampas dan menyita dokumen-dokumen dan tong-tong IBC yang digunakan untuk menyimpan minyak-minyak terpakai yang terdapat di premis.

    Tanah-tanah tercemar dan tong-tong IBC telah dilupuskan oleh pihak Kualiti Alam Sdn Bhd iaitu syarikat yang berlesen di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk melupuskan tanah-tanah tercemar berkenaan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Timbalan Pendakwa Raya. Manakala dokumen- dokumen yang dirampas telah dijadikan sebagai bahan bukti bagi menyokong tindakan pendakwaan yang dimulakan oleh Lembaga.

     

    Barang-barang yang dirampas tidak mempunyai nilai kewangan malah menjadi liabiliti kepada Lembaga kerana tanah-tanah tercemar berkenaan perlu dilupuskan mengikut proses dan prosedur pelupusan Bahan Terjadual di bawah kos dan belanja yang perlu didahulukan oleh Lembaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.