Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

162) EMPANGAN AIR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauhmanakah empangan yang ada memenuhi keperluan pengguna

    Di Negeri Selangor terdapat tujuh (7) empangan yang berfungsi untuk menakung air bagi tujuan bekalan air. Walau bagaimanapun terdapat dua (2) empangan yang bertindak secara dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air iaitu Empangan Klang Gates dan Empangan Batu. Berdasarkan rekod, Empangan Sungai Selangor merupakan empangan terbesar di Negeri Selangor dengan kapasiti 230 juta meter padu(MCM) dan Lembangan Sungai Selangor juga membekalkan lebih 60% bekalan air bagi Negeri Selangor dan Lembah Klang. Jumlah keseluruhan kapasiti empangan Negeri Selangor ialah sebanyak 495.22 juta meter padu(MCM) dan infrastruktur bekalan air sedia ada ini masih mampu menampung kadar permintaan air (4600 juta liter/hari(JLH) bagi bekalan air mentah kepada 32 muka sauk di Negeri Selangor. Semua kawasan tadahan air empangan juga telah diwartakan sebagai zon perlindungan selaras dengan seksyen 48, Enakmen LUAS 1999 pada 2 Disember 2010.Perincian kapasiti Empangan Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    Bil. Empangan Kapasiti Maksimum (Juta Meter Padu /Million Cubic Meter,MCM)
    1. Empangan Sungai Selangor 230
    2. Empangan Sungai Tinggi 114.5
    3. Empangan Sungai Langat 36.77
    4. Empangan Tasik Subang 3.45
    5. Empangan Klang Gates 22.60
    6. Empangan Batu 27.5
    7. Empangan Semenyih 60.40
  2. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat membina empangan baharu untuk menampung penggunaan yang semakin meningkat

    Pendekatan Kerajaan Negeri pada masa ini adalah menggunakan aplikasi kolam takungan hiliran/downstream storage iaitu dengan memanfaatkan sumber air alternatif sedia ada berbanding membina empangan baru. LUAS telah mengenal pasti 21 kolam sumber air alternatif di Negeri Selangor yang telah diwartakan sebagai zon perlindungan selaras seksyen 48, Enakmen LUAS 1999 dengan anggaran kapasiti 1,533 juta meter padu(MCM). Sehubungan itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan Negeri menggunakan sumber air alternatif tersebut seperti berikut:

    1. Pembinaan dua (2) Loji Pembersihan Air (LPA) yang baru iaitu LPA Semenyih 2 dengan kapasiti (100JLH) dan LPA Labohan Dagang dengan kapasiti (400JLH) menggunakan aplikasi Off River Storage di Lembangan Sungai Langat;
    2. Pembangunan Hybrid Off River Augmentation System (HORAS 600) di Bestari Jaya, Kuala Selangor yang melibatkan penstoran lebihan air dari Sungai Selangor dan juga akuifer bawah tanah mempunyai kapasiti 600 JLH turut menggunakan kolam sumber air alternatif yang telah diwartakan;
    3. Pelaksanaan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) di Bestari Jaya juga memanfaatkan kolam sumber air alternatif sedia ada yang telah diwartakan yang bertindak sebagai medium penstoran tambahan di Sungai Selangor. OPAK dengan anggaran kapasiti 800 JLH hingga 1000 JLH dilaksanakan tertakluk kepada keperluan bagi meningkatkan kapasiti aliran Sungai Selangor kerana kedudukannya berhampiran muka sauk.

Lampiran

Tiada Lampiran.