Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
161) PEMBANGUNAN DESA DAN KAMPUNG TRADISI
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan jenis bantuan untuk pembangunan desa dan kampung tradisi
Buat masa ini tiada sebarang bantuan khusus untuk pembangunan Desa dan Kampung Tradisi di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, di bawah Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi dan Program Pembangunan Desa, beberapa program ke arah melahirkan usahawan yang berdaya maju dari aspek kewangan dan ekonomi serta pembangunan modal insan telah dilaksanakan. Melalui kursus yang dilaksanakan para usahawan turut diterapkan kefahaman untuk menjadi usahawan yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat selaras dengan moto Negeri Selangor “Membangun Bangsa Memakmur Negeri”.
Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di bandar dan khususnya di desa iaitu di kampung-kampung tradisi. Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek telah dilaksanakan.
Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Bagi tahun 2015 dan 2016, Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International Collage dan juga di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September.
Bagi tahun 2017, program ini dilaksanakan di dua (2) Inkubator sedia ada iaitu di Inkubator Sabak Bernam dan juga Inkubator Meru, Klang.
Selain itu melalui Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) pula, Kerajaan Negeri telah memberikan peluang dan ruang bagi peniaga-peniaga serta usahawan kampung untuk memperkenal dan memasarkan produk-produk mereka sepanjang karnival berlangsung.
-
Nyatakan jumlah bantuan yang disalurkan dari 2016-2018
Jumlah peserta yang terlibat serta peruntukan perbelanjaan yang telah dibelanjakan bagi tahun 2015, 2016 dan 2017 serta yang akan dibelanjakan bagi tahun 2018 adalah seperti berikut:
Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Jumlah Peruntukan dan Bilangan Peserta Kursus Kemahiran Jangka Pendek
Tahun Bilangan Peserta Jumlah Peruntukan (RM) 2015 600 orang 210,124.00 2016 190 orang 53,930.00 2017 960 0rang 422,520.00 2018 Belum ditentukan 250,000.00 Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri
Selangor: Industri Komuniti Kampung juga telah mula dilaksanakan pada tahun 2015. Program ini merupakan lanjutan Kursus Kemahiran Jangka Pendek bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawan
Industri Komuniti Kampung: Jumlah Peruntukan dan Bilangan Peserta Lanjutan Kursus Kemahiran Jangka Pendek
Tahun Bilangan Peserta Jumlah Peruntukan (RM) 2015 95 orang 793,300.00. 2016 105 orang 992,500.00. 2017 100 0rang 993,025.00 2018 Tidak dilaksanakan Selain itu, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM900,000.00 untuk melaksanakan Program Smart Inkubator yang telah melibatkan sebanyak 6 buah inkubator di 6 daerah yang berasingan. Program ini dicadangkan untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan Kampung Tradisi. Program ini juga akan meningkatkan taraf sosial rakyat Negeri Selangor ke arah kesejahteraan negeri. Kedudukan Inkubator yang disediakan dan kursus-kursus yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
Daerah Jenis Inkubator Klang Penyaman Udara & Pendawaian Elektrik Kuala Langat Pusat Kecantikan, Dandanan Rambut & Jahitan Sabak Bernam Bengkel Motosikal
Hulu Selangor Hulu Langat Makanan (Frozen Food) Petaling Stimulatherapy, Kecantikan & Jahitan Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pembinaan sembilan (9) buah Dataran Niaga yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.35juta di setiap daerah bertujuan untuk menaiktaraf tapak-tapak pasar malam sedia ada dan menjadi medan untuk memasarkan produk-produk desa.
-
Apakah kesan dari pelaksanaan bantuan-bantuan tersebut?
Pada masa ini hampir kesemua peserta bagi Program Industri Komuniti Kampung telah memulakan perniagaan masing-masing dan memperoleh peningkatan pendapatan lebih 30%.