Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
98) PELABURAN DAN PELUANG PEKERJAAN
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan jumlah baharu pelaburan asing dan domestik di Negeri Selangor serta jumlah peluang pekerjaan baharu daripada pelaburan ini.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2018, Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM812,649,654 dengan 35 projek perkilangan yang diluluskan. Daripada jumlah ini, sebanyak 27 projek merupakan projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM667,452,779 telah diluluskan di Negeri Selangor. Daripada jumlah ini, sebanyak RM370,297,437 atau 55% adalah dari pelaburan tempatan dan sebanyak RM297,155,342 atau 45% daripada pelaburan asing.
Manakala sebanyak 8 projek merupakan projek pembesaran/pelbagaian dengan nilai pelaburan berjumlah RM 145,196,875. Daripada jumlah ini sebanyak RM 56,595,567 atau 38% adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 88,601,308 atau 62% adalah daripada pelaburan asing.
Secara dasarnya, sebanyak 1,919 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan daripada jumlah kelulusan projek perkilangan ini. Sebanyak 1,619 potensi peluang pekerjaan adalah daripada projek baru, dan sebanyak 300 daripada projek-projek pembesaran/pelbagaian. Negeri Selangor telah menyumbang kirakira 11% daripada jumlah peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan disektor perkilangan di seluruh negara bagi tempoh ini.
-
Apakah terdapat perancangan Kerajaan Negeri bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti bergaji, terutamanya untuk golongan belia? (Gaji lebih daripada RM2,500)? Sekiranya ya, apakah perancangan dan garis masa perancangan tersebut?
Sumber : MIDA
Kerajaan Negeri pada masa ini masih belum ada perancangan khusus untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti bergaji. Walaubagaimanapun, dengan penumpuan kepada 5 ‘cluster’ dan sektor pembuatan sebagaimana yang dilakarkan dalam ‘Industrial Masterplan Selangor’ dan perancangan ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Fourth Industrial Revolution) sudah pasti pekerjaan yang akan diwujudkan adalah pekerjaan yang berkualiti tinggi.
-
Apakah terdapat perancangan terkini untuk menubuhkan pusat-pusat pekerjaan di Negeri Selangor?
Pada masa yang sama, tahap tangga gaji sekarang berdasarkan pasaran semasa dan kemahiran yang dapat ditawarkan oleh pihak pekerja. Selain itu, pihak syarikat juga tertakluk kepada polisi yang sedia ada yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia.
Pada masa ini Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk menubuhkan pusat – pusat pekerjaan di Negeri Selangor kerana Jabatan Tenaga Kerja yang terdapat di daerah – daerah berperanan untuk membantu para belia mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kekosongan yang ada.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah mewujudkan Selangor Talent Portal Applications. Aplikasi ini dapat dijadikan sebagai platfom dan sumber rujukan kepada para pelabur untuk mendapatkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak mereka bagi mengisi jawatan-jawatan yang diperlukan. Selain itu, ianya juga menjadi platfom kepada graduan yang baru menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka.