Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
73) DASAR TANAH SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan syarat-syarat permohonan pemberimilikan tanah dan TOL yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Pemberimilikan tanah dan pemberian TOL adalah sebahagian daripada kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk melupuskan Tanah Kerajaan. Berdasarkan Seksyen 43 Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) telah menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh melupuskan Tanah Kerajaan kepada orang-orang atau badan-badan berikut:-
- Orang-orang benar selain daripada remaja;
- Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan mereka untuk memegang tanah;
- Raja-raja pemerintah, Kerajaan, Organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan
Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957; dan iv. Badan-badan yang diberi kuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.
Selain daripada syarat-syarat utama yang dinyatakan dalam Seksyen 43 KTN, Kerajaan Negeri juga, melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah mengeluarkan Pekeliling-Pekeliling dan Arahan-Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor yang boleh diperolehi melalui laman sesawang PTGS sebagai rujukan awam bagi tujuan permohonan pemberimilikan dan TOL. Antaranya adalah Pekeliling PTGS Bil. 4/2015 untuk tujuan TOL dan Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 untuk tujuan Skim Pemberimilikan Kediaman Persendirian Negeri Selangor.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan kaji semula syarat-syarat permohonan tersebut memandangkan kebanyakan permohonan terhadap tanah kosong tidak dapat diproses?
Kerajaan Negeri sentiasa mengkaji dasar sedia ada untuk membuat penambahbaikan demi membantu rakyat. Melalui rekod permohonan di Pejabat Tanah Daerah, kesemua permohonan yang diterima akan diproses namun, terdapat keputusan yang lewat dikeluarkan disebabkan permohonan yang tidak lengkap, isu pertindihan permohonan dan kelewatan dalam mendapatkan ulasan teknikal untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri membuat keputusan. Oleh itu, dakwaan permohonan tanah kosong yang tidak dapat diproses adalah tidak tepat.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan mengkaji semula kadar premium tanah yang diamalkan selama ini?
Setakat ini tiada perubahan ke atas formula pengiraan premium tanah (pindaan 2016) yang telah dinyatakan dalam Kaedah-Kaedah Tanah Selangor. Namun Kerajaan Negeri sentiasa menawarkan insentif baharu bagi tujuan pembayaran premium melalui pengeluaran Pekeliling PTGS antaranya adalah seperti berikut:-
- Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 – Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian di Negeri Selangor.
- Pekeliling PTGS Bil. 1/2016 – Kaedah Pembayaran Premium dan Premium Tambahan Ke Atas Kelulusan Permohonan Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah di Negeri Selangor.
- Pekeliling PTGS Bil. 3/2016 – Pemberian Insentif Khas Premium Bagi Tujuan Melanjutkan Tempoh Pajakan Untuk Aktiviti Perniagaan di Bangunan Lama di Dalam Kawasan Luar Bandar.
- Pekeliling PTGS Bil. 2/2018 – Garis Panduan Permohonan Melanjutkan Tempoh Pajakan Tanah di Negeri Selangor.