Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

65) PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah pencapaian dalam usaha pembasmian kemiskinan, terutama sekali golongan OKU dan warga emas. Mereka sukar nak dapat kerja, majikan tidak sudi upah, peluang pekerjaan tipis dan pilihan terhad. Adakah galakan sara diri ini setara dengan sikap dan suasana kemasyarakatan sekarang ?

    Kerajaan Negeri sentiasa peduli akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira umur dan etnik. Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor pula akan terus diperkukuh dan dipelbagai oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas juga tidak terkecuali untuk dibantu dan diberdaya oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

    Untuk itu, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terus diperkasa. Sebagai contohnya, menerusi penganjuran Karnival Kerjaya dan Pemerkasaan Ekonomi OKU yang telah dilaksanakan pada 14 dan 15 Oktober 2017 yang lalu. Sebanyak 18 buah majikan dan agensi yang mempunyai skim bagi golongan OKU telah mengambil bahagian di dalam job fair ini di mana mereka menawarkan pelbagai pekerjaan yang bersesuaian kepada golongan OKU yang layak. Lanjutan daripada program ini, seramai 113 orang daripada 200 orang OKU telah terpilih untuk meneruskan dan menghadiri sesi temuduga kedua bersama-sama majikan yang terlibat. Penganjuran program ini dilihat telah memberikan impak dalam membantu golongan OKU untuk mendapatkan pekerjaan dan memperolehi sumber pendapatan bagi menampung kos kehidupan seharian mereka sekaligus telah membantu mereka keluar dari kancah kemiskinan.

    Selain itu, usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan OKU adalah melalui Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Selangor. Di sini, pelatih OKU diberi peluang untuk memasarkan produk hasil kerja mereka melalui aktiviti pemerkasaan ekonomi golongan OKU yang dilaksanakan secara serentak dengan Program Karnival Kerjaya. Di samping itu, dalam memastikan golongan OKU mendapat kemudahan yang sama seperti masyarakat normal, Kerajaan Negeri telah mengadakan seminar Selangor Ke Arah Negeri Berdayahuni dan Inklusif dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya khas kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor pada 23 Oktober 2017 lalu yang bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran serta rasa sensitiviti terhadap keperluan atau kemudahan rekabentuk sejagat. Melalui seminar ini, pihak PBT perlu mematuhi perundangan dan garis panduan serta kawalan penguatkuasaan dalam memastikan pembangunan yang mesra OKU, ibu hamil atau warga emas di samping memenuhi keperluan sejagat.

    Oleh yang demikian, program pemberdayaan dan galakan sara hidup golongan OKU serta warga emas yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini dilihat bersesuaian dengan situasi masyarakat dan tekanan ekonomi negara pada masa sekarang. Ini kerana program-program tersebut berupaya memberikan kesan langsung terhadap peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan hidup. Pada masa yang sama, rakyat terutamanya golongan OKU serta warga emas juga turut dididik supaya berusaha dan bekerja keras untuk keluar dari belenggu kemiskinan tanpa bergantung harap sepenuhnya terhadap kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.