Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

19) KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bagaimana sambutan peniaga terhadap kempen bebas plastik.

    Kempen Bebas Plastik telah dilaksanakan selama 7 hari seminggu di seluruh Negeri Selangor bermula 1 Januari 2017 berbanding hanya setiap hari Sabtu Sehubungan itu, semua jenis perniagaan di Negeri Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik “single use” secara percuma dan menghentikan penggunaan polistirena di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

    Kempen ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak peniaga terutamanya peniaga-peniaga pasaraya besar, peruncit dan pengusaha makanan. Walaupun pada mulanya terdapat sesetengah peniaga tidak mematuhi arahan untuk mengenakan RM0.20 sen kerana takut kehilangan pelanggan, namun dengan kerjasama dan pemantauan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), peniaga telah mula bekerjasama dalam pelaksanaan Kempen Bebas Plastik.

    Perkara ini dapat dilihat apabila para peniaga memainkan peranan mereka dalam mempromosikan Kempen Bebas Plastik dengan meletakkan notis pemberitahuan hari tanpa beg plastik dan mengenakan RM0.20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan. Selain itu, terdapat beberapa PBT seperti MBSA dan MPSJ yang telah menjalinkan usahasama dengan beberapa buah syarikat swasta dalam membantu pelaksanaan dan promosi Kempen ini.

  2. Nyatakan kekangan yang telah dihadapi oleh kempen ini.

    Beberapa kekangan dalam pelaksanaan Kempen Bebas Plastik adalah seperti berikut:

    1. Tiada bahan alternatif yang sesuai untuk menggantikan beg plastik sekiranya larangan sepenuhnya beg plastik dilaksanakan;
    2. Disebabkan tiada bahan alternatif, maka permintaan terhadap beg plastik masih tinggi terutamanya di kawasan luar bandar; dan
    3. Negeri Selangor tidak mempunyai data pengasingan sampah bagi melihat jumlah komposisi sisa plastik sebelum dan selepas pelaksanaan Kempen Bebas Plastik.
  3. Apakah tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar?

    Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri (SPBT) 1/2016 dan keputusan MMKN Bil. 21/2016 untuk meletakkan syarat larangan penyediaan beg plastik secara percuma dan larangan penggunaan polistirena dalam syarat-syarat permohonan lesen.

    Bagi memastikan Kempen ini berjalan lancar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT giat melaksanakan kempen kesedaran di kalangan peniaga dan pengguna. Selain itu, PBT juga mengadakan sesi engagement bersama pihak peniaga terutamanya sewaktu proses pembaharuan lesen perniagaan. Sekiranya aduan diterima, pihak PBT kebiasaanya akan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengadakan lawatan ke premis perniagaan untuk menjelaskan kepada peniaga tentang kempen ini, seterusnya melakukan pemantauan secara berkala. Sekiranya pihak peniaga masih ingkar arahan, PBT akan mengeluarkan notis peringatan agar pihak peniaga tidak lagi memberikan beg plastik secara percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.