Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
132) HAL EHWAL ORANG ASLI
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Orang Asli
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri turut membantu Tabung Amanah Orang Asli? Jika ya, nyatakan jumlah bantuan kewangan yang telah diberikan serta butir-butirnya.
Kerajaan Negeri turut membantu menyediakan Tabung Amanah Orang Asli yang di uruskan oleh Seksyen Makro dibawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN). Sumber Peruntukan wang amanah tersebut adalah daripada sumbangan anak syarikat kerajaan Negeri Selangor dan sumbangan individu. Tabung Amanah tersebut bertujuan bagi pengurusan seperti pembayaran elaun Badan Bertindak Orang Asli Selangor (BBTOAS) dan pembangunan seperti kos pengurusan pengukuran persempadanan bagi tujuan pewartaan kampung Orang Asli Negeri Selangor. Selain itu Tabung Amanah juga digunakan bagi bantuan kebajikan dan program pembangunan minda Orang Asli .
-
Nyatakan jumlah peruntukan yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk hal ehwal Orang Asli mengikut daerah sejak tahun 2017.
Peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 adalah sebanyak RM64,580.94 yang merangkumi bantuan Program Sukan Belia Gombak sebanyak RM6,100.00. Diikuti, Program Menyertai Kesenian Murid Orang Asli Gombak Sempena XXV International Youth and Children’s Festival Folk Harbous di Gorzow, Poland berjumlah RM23,200.00. Selain itu, bantuan Program Motivasi pendidikan kepada Ibu Bapa berjumlah RM30,300.00 dan sumbangan komputer riba bagi kakitangan pemetaan dan penyelidikan BBTOAS berjumlah RM4,980.94.
Walau bagaimanapun Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor (JAKOA) tidak terlibat sepenuhnya dalam pengurusan Tabung Amanah Orang Asli memandang ini adalah peruntukan Kerajaan Negeri.