Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

80) WIFI SMART SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi perkhidmatan Wifi Smart Selangor di kawasan luar bandar.

    Sejak inisiatif Wifi Smart Selangor dimulakan pada bulan September tahun 2015, sudah ada banyak peningkatan prestasi perkhidmatan di mana liputan tambahan di kawasan luar bandar diberi keutamaan. Namun begitu, liputan Wifi Smart Selangor di kawasan luar bandar masih belum mencapai sasaran optimum. Ini disebabkan tiadanya infrastruktur jaringan teras (Core Network Infrastructure) untuk sistem komunikasi jalur lebar yang cukup hampir dengan kawasan-kawasan tersebut, walau pun pihak SMARTSEL di bawah MBI selaku pengurus projek ini menggunakan khidmat dari Telekom Malaysia Berhad (TM) yang mempunyai rangkaian teras dan jalur lebar berkelajuan tinggi yang luas dan terbesar di Malaysia.

    Dalam hal ini, pihak SMARTSEL-MBI dan TM sentiasa berusaha memperluaskan liputan di kawasan luar bandar dengan mengagihkan Access Point (AP) di tempat yang disasarkan disamping mengikut rangkaian teras yang terdekat. Dalam masa yang sama, pihak SMARTSEL, anak syarikat MBI yang mengurus jaringan ini bagi pihak Kerajaan Negeri, sudah mula membangunkan rangkaian digital sendiri khusus untuk Selangor termasuk memasang rangkaian teras ini di luar bandar mengikut fasa. Pelaksanaan ini akan membolehkan liputan jalur lebar yang meluas di kawasan luar bandar dalam beberapa tahun terdekat ini.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap hotspot Wifi Smart Selangor yang tidak berfungsi dengan baik?

    Pasukan WiFi Smart Selangor di bawah SMARTSEL, anak syarikat MBI, sentiasa memantau dan menerima aduan ketersediaan (availability) dan prestasi di setiap hotspot dari semasa ke semasa melalui sistem pengurusan jaringan (Network Management System). Sekiranya terdapat isu teknikal, ia akan dipanjangkan ke pihak pembekal yang berkaitan untuk tindakan susulan termasuk sama ada menukar Modem atau Access Point (AP) dengan yang baharu.

    Seperkara lagi, pasukan WiFi Smart Selangor telah memperbaiki proses untuk menyukat dan memantau prestasi pembekal perkhidmatan (TM dan CELCOM) untuk memastikan semua aduan dan masalah dapat diselesaikan dalam jangka masa yang telah dipersetujui.

  3. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan saluran kepada orang awam untuk mengadu masalah Wifi Smart Selangor?

    Orang awam boleh membuat aduan mengenai masalah Wifi Smart Selangor melalui atas talian khusus di wifismartselangor.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kerajaan Negeri di selangor.spab.gov.my. Orang awam juga boleh memberi segala cadangan atau maklum balas melalui akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

    Pihak SMARTSEL yang mengurus jaringan Wifi ini bagi pihak Kerajaan Negeri juga sedang meneliti hal ini untuk menambah saluran serta menambahbaik proses pengurusan aduan.

Lampiran

Tiada Lampiran.