Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
69) PROJEK LRT3
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kesan pembatalan beberapa stesen dan pengurangan gerabak projek LRT3?
Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek LRT3 dengan beberapa perubahan yang perlu diambilkira di dalam pelan rasionalisasi projek LRT3 oleh pihak Prasarana. Berdasarkan pelan rasionalisasi tersebut, jajaran LRT3 masih dikekalkan iaitu sepanjang 37 kilometer, dengan jumlah stesen sebanyak 20 buah stesen dan 3 stesen integrasi, manakala 5 buah stesen telah ditangguhkan iaitu Stesen Tropicana, Stesen Temasya, Stesen Raja Muda, Stesen Bukit Raja dan Stesen Bandar Botanik serta sebuah stesen yang dibatalkan iaitu Stesen Hishamuddin termasuk jajaran bawah tanah di stesen berkenaan. Pelan rasionalisasi ini juga akan melibatkan pengurangan gerabak, pindaan rekabentuk serta pengecilan saiz stesen yang lebih komprehensif.
Pelan rasionalisasi ini memberi kesan terhadap implikasi kos keseluruhan yang lebih rendah berbanding kos asal iaitu pengurangan sebanyak RM15 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion. Selain daripada itu, penangguhan dan pembatalan stesen bukan sahaja dapat mengelakkan isu-isu bantahan, malah penangguhan tersebut dibuat berdasarkan jumlah pengguna yang rendah serta kedudukannya yang berhampiran dengan stesen bersebelahan yang mensasarkan pengguna daripada kawasan yang sama. Selaras dengan perubahan-perubahan yang dinyatakan di dalam pelan rasionalisasi tersebut, tempoh pelaksanaan dijangka akan berlanjutan sehingga ke tahun 2024 berbanding jangkaan asal pada tahun 2020.
Untuk makluman Yang Berhormat, pelan rasionalisasi ini telah dibentangkan oleh pihak Prasarana untuk pemakluman kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong sebarang perubahan yang diusulkan jika ianya memberi kebaikan seperti penjimatan kos secara keseluruhan yang pastinya dapat membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan negara pada ketika ini.
-
Apakah hasil perbincangan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan hal tersebut?
Sama seperti di SUB (a)