Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
67) PENCEMARAN OLEH KILANG-KILANG HARAM DI KUALA LANGAT
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kilang haram yang memproses plastik import telah mencemari udara di Daerah Kuala Langat. Begitu juga dengan pembakaran terbuka dan kilang-kilang lain yang mengeluarkan asap sama ada kilang haram atau berlesen. Bagaimanakah Jabatan Alam Sekitar menjalankan pemantauan berkala terhadap kilang-kilang ini?
Jabatan Alam Sekitar telah terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi termasuklah Majlis Daerah Kuala Langat, Pejabat Tanah dan Polis Diraja Malaysia telah dilaksanakan pada 24 Julai 2018 dan 02 Ogos 2018 untuk mengatasi masalah pencemaran daripada aktiviti kilang haram yang memproses buangan plastik di sekitar Kuala Langat. Operasi penguatkuasaan bersepadu akan diteruskan bersama-sama agensi-agensi tersebut untuk membenteras aktiviti kilang haram ini. Susulan daripada operasi tersebut Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan kepada premis atau kilang yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah pencemaran udara yang berlaku. Selain dari itu, tindakan kompaun dan tindakan mahkamah diambil sebagai denda ke atas kesalahan tersebut.
Seterusnya pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar akan menjalankan pemeriksaan penguatkuasan susulan bagi memastikan premis atau kilang berkenaan telah mematuhi Notis Arahan yang dikeluarkan.
Jabatan Alam Sekitar juga menjalankan program penguatkuasaan secara berjadual ke atas kilang-kilang yang dikenalpasti berisiko melakukan pencemaran udara bagi memastikan kilang-kilang tersebut sentiasa mematuhi peraturan.
Jabatan Alam Sekitar juga turut menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mengakibatkan pencemaran kepada kualiti udara seperti di kawasan industri dan ladang di Kuala Langat.