Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
62) LOJI WASTE TO ENERGY (WTE)
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat membina lebih banyak loji WTE bagi menggantikan tapak pelupusan sampah sekarang? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Pada ketika ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Darul Ehsan Ke 16/2016 yang diadakan pada 11 Mei 2016 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Darul Ehsan Ke 17/2016 pada 18 Mei 2016 telah menimbang dan bersetuju WHB menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor.
Untuk makluman, ISWMC adalah satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:
- Loji Waste To Energy (WTE);
- Loji Kitar Semula;
- Loji Pencernaan Anerobik (AD);
- Loji Kompos;
- Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
- Pusat Penyelidikan & Pembangunan
Dengan adanya ISWMC ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor.
-
Nyatakan status terkini pembinaan loji WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram oleh Worldwide Holdings Berhad.
Dalam hal pelaksanaan pembangunan Loji WTE, WHB telah melaksanakan tindakan meliputi perkara-perkara seperti berikut:
- pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Studies) untuk pembangunan loji WTE. Kajian antara lain mendapati sistem ‘Moving Grate’ atau ‘Stoker’ adalah sistem yang paling sesuai untuk dilaksanakan dan lokasi loji WTE juga didapati sesuai untuk dibangunkan di TPSJ Kuala Selangor;
- pelaksanaan Kajian Pengasingan Sumber Sampah (Segregation of Source Study) yang mendapati ISWMC akan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sebanyak sekurang-kurangnya 4 kali jangka hayat tapak pelupusan semasa sisa pepejal berikutan kaedah memproses sisa pepejal berdasarkan kapasiti dan jenis sisa pepejal yang diterima;
- penilaian ke atas penyedia teknologi (Technology Provider) yang berpotensi untuk dijadikan rakan kongsi bagi pembangunan ISWMC. Penilaian yang dibuat meliputi aspek teknikal, kewangan, perundangan dan korporat;
- pembangunan kapasiti dan kemahiran ISWMC melalui latihan-latihan modal insan, lawatan ke loji-loji di negara yang telah menggunapakai konsep WTE serta menubuhkan satu jabatan khusus sebagai nukleus kepada pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja, pembangunan kemahiran teknikal dan teknologi;
- mengenalpasti instrumen kewangan yang sesuai untuk digunapakai dengan institusi kewangan yang terlibat;
- mengadakan perbincangan dengan pihak Sustainable Energy Development Authority (SEDA) berkaitan laluan transmisi yang akan menghubungkan TPSJ dengan Pencawang Masuk Utama (PMU) terdekat di Kapar untuk tenaga yang akan dijana dari Loji WTE. Perbincangan dengan SEDA juga melibatkan permohonan kuota tenaga boleh diperbaharui dan tarif elektrik; dan
- menyenarai pendek perunding alam sekitar bagi penyediaan Laporan Kajian Impak Kepada Alam Sekitar (EIA) untuk dikemukakan, diteliti dan diluluskan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).