Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

46) PEMBAKARAN TERBUKA DI TANAH PERSENDIRIAN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kes pembakaran terbuka yang telah diterima dan diselesaikan sepanjang tahun 2017?

    Jumlah kes pembakaran terbuka yang diterima dan diselesaikan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) sepanjang tahun 2017 adalah sebanyak 1,064 kes yang terdiri daripada pembakaran di tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah haram, ladang, kebun, hutan, belukar dan pembakaran sampah di kawasan perumahan, tepi jalan dan tepi sungai. Daripada keseluruhan kes tersebut, sebanyak 96 kes merupakan aduan bagi punca yang sama membabitkan kawasan di Johan Setia, Klang, tapak sampah haram di Ulu Yam, dan kawasan Bukit Lanchong, Shah Alam.

  2. Apakah cadangan pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan kes-kes ini tidak berulang?

    Bagi memastikan kes pembakaran terbuka tidak berulang, Kerajaan Negeri mengambil tindakan dengan melaksanakan berbagai cara seperti berikut:-

    • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh JAS dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah & Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka;

     

    • JAS menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;

     

    • Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan Khas bagi mencegah pembakaran terbuka di bawah Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;

     

    • Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “checkdam” dan pembinaan telaga air tanah (tubewell) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;

     

    • Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang telah berlaku melibatkan kawasan hutan, tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;

     

    • Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;

     

    • Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah- tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan

     

    • Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
  3. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri terutama di Kampung Johan Setia?

    Bagi kawasan Johan Setia, sebanyak 33 kes pembakaran terbuka telah dikesan pada tahun 2017 dan 100 aduan kes pembakaran terbuka dikesan pada tahun 2018 bagi tempoh sehingga 19 Ogos 2018. Pada tahun 2011 sehingga tahun 2017, sebanyak 47 kes telah diambil tindakan mahkamah kerana melakukan kesalahn pembakaran terbuka di kawasan Johan Setia. Sebanyak 4 kes telah disediakan Kertas Siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka untuk diambil tindakan mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada tahun 2018, manakala kes-kes yang lain dikenakan tindakan kompaun, Notis Arahan atau surat amaran.

    Untuk makluman, keputusan Mesyuarat EXCO Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bil 22/2008.

    • Majlis Perbandaran Klang (MPK) diminta mewujudkan Unit Pemantauan Pembakaran Terbuka untuk memantau, mencari kaedah untuk menghalang dan mencegah kebakaran dan mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan pembakaran di kawasan tersebut. MPK diminta menyediakan kertas kerja untuk permohonan peruntukan bagi menghalang kebakaran dan cadangan penggunaan tanah.

    Ketetapan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 30/2012

    • Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 30/2012 yang telah bermesyuarat pada 15 Ogos 2012 telah bersetuju supaya merampas tanah terbiar yang berlaku pembakaran di kawasan Johan Setia, Klang; dan
    • Pejabat Daerah/ Tanah Klang diarahkan menubuhkan task force bagi mengambil tindakan tersebut.

    Bagi perancangan jangka panjang di kawasan Johan Setia, pada tahun 2018 Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pengezonan semula Kawasan Pertanian Revolusi Hijau Johan Setia bagi sebahagian kawasan, pemilik tanah boleh mengemukakan permohonan tukar syarat tanah kepada pembangunan komersil atau pembangunan bercampur mengikut Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (Pengubahan 4) 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.