Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
259) KUALITI AIR SUNGAI
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sebagai satu usaha untuk melestarikan sumber air Selangor, kualiti air sungai perlu dipertingkatkan. Apakah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan serta dan keberkesanannya untuk mempertingkatkan kualiti air sungai di Selangor?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk dibekalkan kepada rakyat Negeri Selangor. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 105 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan rizab sungai di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan sama ada dari aspek kuantiti, kualiti dan persekitarannya.
Pemantauan berkala dilaksanakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan secara bersepadu bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan perundangan yang diperuntukkan juga dilaksanakan secara holistik dalam penjagaan sumber air, antaranya :
- Pelesenan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor),
- Pelaksanaan Kebenaran Bertulis bagi Aktiviti Pengubahan Sumber yang melibatkan sumber air, dan
- Pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan pendakwaan bagi setiap kesalahan yang berkaitan dengan sumber
Maklumat tambahan
Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi.