Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

219) PELUANG PERNIAGAAN UNTUK BELIA (USAHAWAN)

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan pihak Kerajaan Negeri bagi mewujudkan peluang usahawan untuk belia?

    Kerajaan mengambil maklum berkenaan mewujudkan peluang usahawan untuk belia dalam usaha untuk membantu mereka menceburi diri dalam bidang Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak mengkhususkan platform perniagaan untuk golongan belia semata-mata. Kerajaan negeri telah menyediakan platform perniagaan kepada para usahawan seperti sewaan premis perniagaan di UPTOWN Seksyen 24 Shah Alam, platform niaga seperti gerai-gerai makanan di setiap PBT. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan juga menyertai ekspo dan pameran tempatan dan bertaraf antarabangsa seperti PIHEC, MIHAS, SIE dan HALFEST. Pada ekspo dan pameran ini usahawan yang berkelayakan telah dipilih untuk menyertai delegasi Negeri Selangor. Penganjuran ekspo dan pameran ini dapat membuka peluang dan meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa. Seterusnya, siri karnival Jelajah Usahawan Selangor sedang berlangsung di sembilan (9) daerah yang mana ia dapat membuka peluang perniagaan kepada peniaga tempatan. Karnival ini bukan sahaja difokuskan kepada peniaga bahkan penduduk tempatan untuk mendapatkan barangan pada harga rendah dan berpatutan. Pada tahun 2018, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan juga meneruskan program Jelajah Made In Selangor AEON Mall di Johor Bahru dan AEON Mall Melaka. Ia merupakan peluang platform promosi di beberapa pasar raya / hyper market di luar Negeri Selangor untuk usahawan Negeri Selangor. Kerajaan negeri juga turut menyediakan Kursus Keusahawanan kepada mereka bertujuan untuk memberi pendedahan tentang bidang perniagaan dan keusahawanan. Selain daripada itu, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan dan pinjaman perniagaan daripada Blueprint, Hijrah dan Dana Usahawan Mikro bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan.

  2. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan kuota bagi belia berniaga di premis PBT?

    Kerajaan Negeri tidak menyediakan kuota khusus untuk golongan belia berniaga di premis PBT. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan golongan belia menceburi bidang perniagaan melalui inisiatif-inisiatif yang disediakan seperti diatas.

  3. Apakah perancangan PBT bagi membantu golongan belia untuk mendapatkan peluang perniagaan?

    PBT sentiasa mengutamakan mana-mana permohonan pihak belia yang ingin menjalankan perniagaan sekiranya semua syarat telah dipatuhi. Bagi membantu golongan belia mendapatkan peluang perniagaan dengan mengetengahkan program industri kecil dalam industri makanan seperti ais krim, bakeri, pembuatan mi dan catering dalam program-program di PBT.

    PBT juga telah memperkenalkan perniagaan menggunakan trak yang dikenali sebagai perniagaan Smart Trak. Perniagaan foodtruck ini sememangnya menjadi pilihan golongan belia untuk berniaga. PBT juga telah menetapkan lokasi khas untuk menjalankan perniagaan Smart Trak ini di lokasi “Hot Spot” iaitu kawasan tumpuan orang ramai. Golongan belia boleh memanfaatkan peluang ini untuk menjalankan perniagaan Smart Trak tertakluk dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.