Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
135) WARGA EMAS DI SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah program-program yang wujudkan untuk warga emas di Selangor?
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan telah melaksanakan program Intergenerasi Warga Emas Bersama Golongan Remaja dan Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di daerah Sabak Bernam dan Sepang. Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan warga emas bersama golongan muda melalui aktiviti-aktiviti seperti aktiviti kemasyarakatan, perkongsian ilmu, penerangan mengenai kesihatan warga emas serta persediaan mendepani negara yang semakin tua.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya telah menjayakan Program Rekreasi dan Riadah Bersama Golongan Warga Emas dengan penubuhan Pusat Aktiviti Kepada Golongan Warga Emas di Kompleks Kemudahan Kemasyarakatan MPSJ. Penubuhan pusat aktiviti ini bertujuan untuk memberi ruang dan kemudahan kepada golongan warga emas tempatan untuk beriadah, berekreasi dan memberi galakan bagi hidup yang lebih sihat bersama masyarakat setempat.
Begitu juga dengan program-program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor melalui Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang kini berjumlah 8 buah di seluruh Negeri Selangor. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah seperti melaksanakan program keagamaan, program rekreasi, program terapi dan pemulihan, program ceramah kesihatan dan latihan atau kursus yang bersesuaian.
-
Apakah bantuan kebajikan yang ada untuk warga emas yang miskin?
Bantuan kebajikan yang diberikan kepada golongan warga emas di Negeri Selangor pada masa kini ialah Bantuan Orang Tua (BOT) dengan kadar RM 350 sebulan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Perkhidmatan bantuan dan sokongan kewangan kepada golongan warga emas ini adalah bertujuan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Pemberian bantuan ini tertakluk kepada syarat kelayakan seperti berikut:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma.