Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

99) PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah belia yang telah ditaja oleh Kerajaan Negeri sejak 2008 hingga 2018 mengikut bidang masing-masing? Senaraikan.

    Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan belia memandangkan golongan belia merupakan agen kepada pembangunan Negara pada masa akan datang.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri amat prihatin dan menyedari akan kepentingan bidang pendidikan kepada golongan belia khususnya di Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menjalankan Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) yang telah bermula pada 7 Mac 2014 di mana program ini adalah terbuka kepada semua kaum di kalangan belia yang terdiri daripada Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT), PeBT Zon dan NGO-NGO terpilih. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (IPSAS, UPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan belia. Melalui program ini, Kerajaan Negeri telah memberi tajaan sebanyak RM9,400.00 seorang kepada 23 orang pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan adalah sebanyak RM216,200.00. Kesemua pelajar ini telah berjaya menamatkan pengajian dan menghadiri majlis graduasi yang telah diadakan pada 6 November 2018 oleh pihak UPM.

    Seterusnya, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah meneruskan program ini bagi fasa kedua yang mana seramai 30 orang pelajar yang akan ditaja dengan kos sebanyak RM10,000.00 seorang dan jumlah keseluruhan tajaan adalah sebanyak RM300,000.00.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menjalankan Program Kemahiran Teknikal bermula pada tahun 2018 dengan jumlah keseluruhan peruntukan pada tahun ini ialah sebanyak RM6,026,975.00. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan generasi muda yang terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran di dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di INPENS International College. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga berpendapatan rendah melalui penajaan pendidikan kepada pelajar INPENS International College. Untuk makluman, penajaan pendidikan adalah merangkumi kos yuran pengajian (tertakluk kepada kursus), yuran asrama (RM100 sebulan), elaun makan/ minum (RM11 sehari) dan elaun sara hidup (RM150 sebulan) kepada pelajar INPENS International College yang memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan. Melalui program ini, seramai 3,983 orang yang menerima manfaat.

     

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan potensi mereka dalam bidang masing-masing?

    Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan belia memandangkan golongan belia sering ditakrifkan sebagai golongan muda yang akan mewarisi kepemimpinan Negara pada suatu masa nanti. Justeru, belia seharusnya memikirkan tanggungjawab dan peranan yang bakal mereka pikul dan galas pada masa depan. Memandangkan rintangan yang perlu ditempuhi oleh pemimpin Negara pada masa kini amat mencabar maka sudah tentu rintangan yang bakal ditempuhi oleh belia yang akan mewarisi tampuk pentadbiran Negara, masyarakat atau sesebuah organisasi masa depan lebih mencabar. Berikutan, belia wajar diberi peluang untuk sama-sama terlibat di dalam urusan dan pentadbiran sesebuah organisasi mahupun masyarakat.

    Sehubungan itu, dalam usaha untuk menyesuaikan pekerjaan dan kelayakan warga Selangor khususnya dalam kalangan belia, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa tindakan dan perancangan seperti berikut:

    • Penubuhan INPENS International College yang menyediakan peluang latihan kepada pelajar lepasan SPM, pelajar keciciran persekolahan, belia menganggur serta belia yang meminati ilmu teknikal dan vokasional untuk mempelajari ilmu latihan kemahiran;
    • Untuk memenuhi permintaan industri, pihak kerajaan telah mengadakan kerjasama dengan Selangor Human Resources Development Center (SHRDC) yang berfungsi sebagai rakan kongsi dengan industri untuk menentukan kemahiran dan kecekapan di dalam program persijilan iaitu melaksanakan program pembangunan bakat terutamanya bagi lepasan sekolah, lepasan graduan serta pekerja industri sendiri. Tahap penerapan pekerjaan bagi peserta program-program ini mencapai sehingga 95- 100%. Antara program yang dilaksanakan adalah:
      Program Tempoh masa / Bidang
    i. Program Latihan –     3 hingga 6 bulan
      Bersama Industri –     mechatronic,semiconductor, ICT dan

    lain-lain

    ii. Program lepasan sekolah –     pembangunan bakat lepasan SPM

    dalam bidang mechatronic dan solar

    iii. Program kemahiran belia menganggur –     pembangunan bakat dalam bidang ICT,        semiconductor,       footwear,

    mechatronic dan lain- lain.

    • Program Jom Kerja berbentuk Karnival yang telah diadakan di semua daerah di Negeri Selangor dengan mengadakan temu duga terbuka (walk in interview) oleh syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja;
    • Kerjasama dengan Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang melaksanakan Program Ransangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) dan kini dikenali sebagai Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) bertujuan untuk membantu para siswazah Selangor dan rakyat Selangor yang masih belum mendapat pekerjaan dalam mempertingkat pengetahuan dan keupayaan diri mereka melalui penyediaan latihan sama ada dalam bentuk kemahiran umum (softskill) atau kemahiran – kemahiran teknikal; dan
    • Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) telah dilaksanakan yang menyediakan inisiatif seperti berikut:
    • Program pengajian dan latihan dengan memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang diperlukan oleh pihak industri di tujuh institut latihan di Negeri Selangor yang merangkumi lima bidang utama iaitu life sciences, food and beverages Manufacturing, electrical and electronics, transport equipment dan machinery and equipment.
    • Antara program yang dilaksanakan untuk kategori Belia Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah program latihan kemahiran dengan kerjasama pihak industri bagi meningkatkan nilai tambah (value-added) kepada pekerja lepasan SPM, agar dapat menceburi bidang teknikal sesuai dengan perancangan tenaga kerja mahir dengan syarikat yang terlibat. Selain itu, bagi menyokong jumlah bakat yang mencukupi untuk peralihan industri di Selangor ke arah aplikasi Smart Factory dan Smart Manufacturing selaras dengan cabaran Industri 4.0. Program Internship High Impact Talent (i-HIT) dilaksanakan yang melibatkan graduan dalam bidang kejuruteraan.
    • Melalui kerjasama dengan Strand Aesrospace Malaysia, program yang telah dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kualiti graduan dalam aspek keyakinan dan kemahiran bertindak bagi persediaan bekerja dalam industri berimpak tinggi yang seiring dengan revolusi industri 4.0. Pada penghujung latihan peserta yang terbaik akan diberi peluang untuk di temu duga bersama industri aerospace dan syarikat multinasional.
    • Jumlah penyertaan sehingga Oktober 2018 ialah seramai 1197 orang dan ukuran kejayaan Program IKTISASS ialah memastikan 80 peratus pelajar atau pelatih yang menjalani latihan akan mendapat penempatan pekerjaan atau menyambung pengajian atau latihan ke peringkat lebih tinggi.
  3. Apakah pandangan kerajaan berkenaan Majlis Belia Selangor dan gabungan dibawahnya?

    Untuk makluman, Majlis Belia Selangor (MBS) telah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia di bawah Akta Pertubuhan Belia Dan Akta Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan menjadi ahli gabungan kepada Majlis Belia Malaysia. Begitu juga dengan gabungannya, merupakan pertubuhan – pertubuhan belia yang turut berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (Registrar of Youth Society, ROY).

    Selain itu, Majlis Belia Selangor yang bergabung di bawah Majlis Belia Malaysia diangkat sebagai badan induk pertubuhan belia di peringkat Negeri yang menggabungkan dan menyelaraskan semua pertubuhan belia yang bergabung dengannya.

    MBS dan gabungannya berfungsi untuk:

    • menyalurkan suara belia kepada kerajaan melalui Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Negeri dan daerah;
    • bekerjasama dengan kerajaan dalam menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan belia;
    • melaksana apa-apa fungsi lain di bawah Akta 688

    MBS juga berperanan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam hal yang berkaitan dengan pembangunan belia selaras dengan perlembagaan mereka (MBS). Hal yang sama turut dimainkan oleh gabungannya samada di peringkat Negeri mahupun di daerah, sebagai suara belia kepada pihak kerajaan, serta untuk melatih kepimpinan belia.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.