Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
49) PENGELUAR INDUSTRI MAKANAN NEGARA
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selain dikenali sebagai negeri industri perkilangan,adakah Kerajaan Selangor mahu menjadikan Selangor negeri pengeluar industri makanan negara?
Negeri Selangor lebih dikenali sebagai sebuah negeri yang bertunjangkan ekonomi di sektor perkhidmatan dan pembuatan. Ini telah dibuktikan dengan jumlah Keluaran Negeri Dalan Negeri Kasar (KDNK) telah menyumbang lebih kurang 90% dari keseluruhan KDNK Negeri Selangor jika di bandingkan dengan sektor pertanian yang hanya 1.4%
Pada ketika ini, Negeri Selangor sukar untuk mencapai ke arah menjadi sebagai pengeluar makanan utama negara. Faktor utama kepada fakta tersebut adalah disebabkan oleh keluasan tanah untuk pertanian yang semakin mengecil akibat dari pertembungan guna tanah dengan kawasan perumahan dan juga komersial. Namun begitu, Negeri Selangor boleh menjadi sebagai sebuah negeri pengeluar hasil pertanian proses yang terbesar serta sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian disebabkan faktor lokasi yang amat strategik serta asas sebagai sebuah negeri yang berpaksikan kepada sektor pembuatan yang kuat.
Walau bagaimanapun, dasar Kerajaan Negeri pada ketika ini adalah lebih menumpukan kepada pertanian makanan yang bercirikan teknologi moden selari dengan dasar Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) yang menumpukan kepada penggunaan teknologi dan jentera moden tanpa melibatkan kawasan tanah yang luas tetapi masih boleh mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti. Contoh terbaik adalah tanaman berkonsepkan fertigasi di mana Negeri Selangor pada ketika ini adalah merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai jumlah projek fertigasi tertinggi di Malaysia.
Selain dari itu juga, dasar Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendapatan golongan petani dan penternak adalah menggalakkan projek yang mempunyai nilai tinggi atau High Value Agriculture Product (HVAP) dan kesemuanya ini bertunjangkan kepada 5 teras iaitu :-
Inisiatif hasil pertanian bernilai tinggi atau High Value Agriculture Product (HVAP);
- Aplikasi Teknologi dan Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D);
- Pembangunan Agroprenuer;
- Peningkatan Pengeluaran Dan Kualiti;
- Agro Pelancongan; dan
- Melengkap Rantaian Nilai (Value Chain) bermula dari pengeluaran sehingga ke pemasaran.