Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
43) PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan industri pelancongan.
Kerajaan Negeri telah menjalankan beberapa usaha dan program khusus untuk membangunkan industri pelancongan negeri. Antara program dan usaha yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
i.Lawatan Teknikal Produk Pelancongan
Lawatan teknikal produk pelancongan ini adalah bertujuan untuk Kerajaan Negeri dan agensi-agensi teknikal kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Tourism Selangor melawat produk pelancongan baharu atau pun produk pelancongan sedia ada yang berpotensi dibangunkan dan dipromosikan dan seterusnya menilai kesediaan produk pelancongan tersebut untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelancong.
Lawatan ini juga bersifat khidmat nasihat kepada pengusaha industri pelancong dari segi keperluan memenuhi syarat yang telah ditetapkan seperti memiliki lesen yang sah sehinggalah kepada cadangan pembangunan promosi. Tourism Selangor pula akan memasukkan produk pelancongan yang dilawati ini di dalam senarai produk pelancongan negeri dan seterusnya dipromosikan di platform yang bersesuaian termasuklah di dalam siri promosi dalam dan luar negara.
Sesi lawatan ini dijalankan sepanjang tahun mengikut jadual dan sebanyak 16 sesi lawatan teknikal telah dijalankan di 16 kawasan pelancongan sepanjang tahun 2018.
ii.Program Pembangunan Pakej Produk Pelancongan
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan juga persatuan pelancongan seperti Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) dan Malaysia Association of Hotels (MAH) telah membangunkan sebanyak 14 pakej pelancongan dan dilancarkan mengikut pasaran sepanjang Tahun 2018. Penglibatan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor ini dalam pembangunan pakej produk pelancongan ini dilihat berjaya dan mendapat sambutan yang amat baik di kalangan penggiat pelancongan negeri.
- Program Hos Komuniti Pemandu Pelancong Negeri Selangor Program Hos Komuniti Selangor ini merupakan program pemangkin menggunakan pendekatan ‘Community Base Tourism Delivery Management”. Program ini diadakan adalah untuk melatih pemandu pelancong setempat di seluruh Negeri Selangor secara profesional. Buat masa ini, program ini dilaksanakan di tiga (3) buah daerah iaitu, Daerah Klang, Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam di mana 20 orang peserta daripada setiap daerah telah dipilih melalui saringan temu
Program ini dianjurkan bagi mencapai manfaat untuk meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar selain menjadikan budaya dan warisan setempat sebagai produk pelancongan yang mapan. Program ini juga dapat menggalakkan komuniti setempat untuk memulihara warisan tempatan dan membangunkan produk pelancongan yang mesra alam sekitar. Program yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia ini akan diperluaskan kepada daerah-daerah yang lain di Negeri Selangor.
iv.Program FAM (Familiarization) Tour
Program FAM Tour atau FAM Trip adalah bertujuan untuk membiasakan peserta dengan destinasi dan produk pelancongan seterusnya mempromosikan potensi produk pelancongan tersebut.
Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Tourism Selangor melaksanakan sesi FAM Tour ini yang dijalankan sepanjang tahun bersama Agensi Pelancongan serta Media tempatan dan antarabangsa untuk membantu membangunkan pakej pelancongan seterusnya membantu mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor ke pentas global.
Sehingga kini, sebanyak 24 sesi lawatan FAM Tour telah dijalankan oleh Tourism Selangor dan UPEN mengikut kepelbagaian pasaran yang dilihat amat berkesan membantu membangunkan produk pelancongan di Negeri Selangor.
-
Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan industry pelancongan di DUN Rawang?
Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan melihat peluang-peluang dan potensi baharu yang boleh dikembangkan di dalam industri pelancongan negeri termasuklah di DUN Rawang.
Rawang adalah sangat berpotensi untuk diteroka dari aspek sejarah dan warisan memandangkan Rawang adalah salah sebuah pekan atau bandar bersejarah di dalam Negeri Selangor yang bermula seawal tahun 1800. Sumbangan besar Rawang kepada negeri dan Tanah Melayu ketika itu adalah di dalam industri bijih timah. Rawang juga telah menyaksikan beberapa sejarah penting termasuklah Pertempuran Rawang 1871 di antara kumpulan-kumpulan Yap Ah Loy yang bersekutu dengan Tengku Kudin menentang tentera Syed Mashor.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan melihat semula peluang dan potensi pelancongan Rawang dari sudut sejarah dan warisan dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan agensi- agensi serta NGO yang berkaitan.
Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan melihat dan menilai semula tahap kesediaan serta keperluan asas pembangunan kemudahan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang bertujuan untuk meningkatkan Industri Pelancongan di DUN Rawang dan kawasan berpotensi tinggi menjadi kawasan pelancongan dan riadah yang menarik seperti berikut:
- Pembangunan Pelancongan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur yang mesra alam dan mesra pelancong;
- Kemudahan jalan serta akses, tempat parkir dan nilai komersial menggambarkan “x-faktor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke tempat pelancongan tersebut;
- Kemudahan awam seperti tandas, surau, papan tanda jalan dan taman permainan; dan
- Aktiviti promosi yang dijalankan oleh pihak Tourism Selangor bersama- sama organisasi pelancongan yang lain termasuklah Majlis Perbandaran Selayang bagi memasarkan produk pelancongan dan kawasan riadah yang ada di kawasan DUN Rawang kepada para pelancong.
-
Nyatakan jumlah pekerjaan yang telah dicipta oleh industri pelancongan.
Mengikut data statistik daripada Jabatan Statistik Malaysia yang telah dikeluarkan pada 20 Oktober 2018, Industri Pelancongan menyumbangkan 23.2% iaitu, sebanyak 3.4 juta pekerja daripada keseluruhan bilangan pekerja di Malaysia. Pecahan pekerja dalam bidang pelancongan ini terdiri daripada Perdagangan Runcit (33.7%), Makanan & Minuman (32.3%) dan Perkhidmatan Pelancongan Khusus (17.7%).