Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

2) RUMAH KOS RENDAH JENIS (A)

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sehingga kini, masih terdapat 70,967 bilangan permohonan di bawah Kerajaan Negeri Selangor untuk Skim Rumah Selangorku (Jenis A). Apakah Kerajaan Negeri Selangor selepas ini akan merancang bagi memperbanyakkan Projek Rumah Selangorku (Jenis A)?

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 02 April 2018, bagi mana-mana tanah / tapak cadangan yang terletak di zon 1 pembangunan dengan keluasan melebihi 5 ekar dan ke atas dikenakan syarat penyediaan 10% Rumah Selangorku Jenis A, bagi zon 2 pembangunan yang berkeluasan 20 ekar ke atas turut dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A manakala bagi zon 3 yang berkeluasan 50 ekar dan ke atas juga dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau Anak Syarikat Kerajaan Negeri / Persekutuan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku terutamanya Jenis A di bina, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan pembinaan Rumah Selangorku melalui Jawatankuasa Pemantauan Pembinaan Hartanah Harga Terkawal. Sekiranya pihak pemaju tidak membina atau sengaja melambat- lambatkan pembinaan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan mengeluarkan ‘stop work order’ / tidak menyokong pengeluaran Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) serta tidak meluluskan permohonan Kebenaran Merancang bagi pembangunan perumahan harga bebas atau lain-lain pembangunan sekiranya syarat tersebut tidak dilaksanakan.

    Selain pemantuan pembinaan projek, Kerajaan Negeri juga menguatkuasakan pemantauan aktiviti pemasaran yang dibuat oleh pihak pemaju. Pihak pemaju

    perlu mempromosikan / menyebarluaskan projek-projek Rumah Selangorku yang dibina supaya diketahui oleh rakyat jelata bagi memudahkan bakal pembeli membuat semakan / memohon rumah tersebut.

    Dengan adanya langkah- langkah tersebut, ianya dapat memacu serta mencapai matlamat Kerajaan Negeri untuk merancang serta memperbanyakkan projek Rumah Selangorku.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.