Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

122) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rekod tindakan kerajaan setakat ini kepada pemilik yang menyewakan Rumah Selangorku kepada pihak ketiga daripada tahun 2017 sehingga kini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengambil tindakan dengan membuat siasatan di lokasi bagi setiap aduan yang dikemukakan berhubung dengan isu penyewaan Rumah Selangorku (RSKU) untuk mendapatkan pengesahan terhadap aduan tersebut selaras dengan fungsi dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001 dalam melaksanakan arahan pihak Berkuasa Negeri.

    Berdasar rekod setakat ini sebanyak 6 lawatan tapak yang merangkumi 19 unit RSKU bagi tujuan siasatan di lokasi terlibat telah dijalankan seperti berikut :

     

    • Pangsapuri Putra, Taman Putra Prima Puchong (2 unit)
    • Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland (10 unit)
    • Pangsapuri Gapura Bayu, Jade Hill Kajang (1 unit)
    • Pangsapuri De Palma, Setia Alam (2)
    • Pangsapuri De Kiara, Setia Alam (2) ; dan
    • Pangsapuri Trifolis, Bandar Bukit Tinggi, Klang (2)

     

    Manakala sebanyak 6 unit RSKU di Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland telah dikeluarkan notis secara pentadbiran oleh LPHS kepada unit-unit yang disewakan kepada warga asing.

    Selanjutnya, sekiranya didapati implikasi yang timbul ekoran daripada penyewaan oleh pemilik RSKU tersebut menyebabkan wujudnya kesalahan-kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan tersebut antara lainnya seperti pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 1971) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) maka perkara tersebut akan dipanjangkan ke Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

    Selain daripada itu pihak pemaju yang membina Rumah Selangorku, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (JMC) dinasihatkan untuk membuat langkah kawalan melalui “house rules” yang dibenarkan di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Strata 2013 (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 dan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] khusus bagi menjaga kepentingan serta menjamin tahap keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan pemilik dan penghuni kediaman berstrata.

     

  2. Adakah Kerajaan Negeri telah menemui solusi terbaik bagi mencegah perkara ini berulang?

    Bagi mengekang permasalahan ini daripada terus berleluasa, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor telah dan akan mengambil tindakan seperti berikut:

    • menjalankan siasatan berhubung perkara ini dengan meneliti semula proses penawaran kepada pembeli-pembeli yang terlibat menyewakan unit-unit Rumah Selangorku;
    • mengeluarkan notis bagi mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit-unit Rumah Selangorku sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001;
    • membuat tindakan penyelarasan bersama–sama dengan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjalankan operasi bersepadu bagi kesalahan-kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan ini antaranya membuat pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 171) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133);
    • terlibat dalam operasi bersepadu bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan;
    • telah mengarahkan pemaju yang membina Rumah Selangorku, Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan untuk mengambil tanggungjawab yang sewajarnya untuk menguatkuasakan undang-undang kecil di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Strata 2013 (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 antaranya mengawal selia penggunaan akses kad terhad kepada penghuni yang mendiami unit Rumah Selangorku;
    • merangka undang-undang kecil tambahan untuk digunapakai oleh semua Rumah Selangorku merangkumi peruntukan mengenakan tindakan punitif termasuk mengenakan denda terhadap mana-mana pelaku yang  melakukan kesalahan di bawah undang-undang kecil bagi memastikan kepatuhan penghuni Rumah Selangorku bagi menjamin tahap keselamatan dan kesihatan  keselesaan dan kenikmatan pemilik dan penghuni Rumah Selangorku; dan
    • membuat koordinasi pengurusan aduan penyewaan dan penguatkuasaan ini bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan serta menwujudkan Manual Pengurusan dan Penyenggaraan Rumah Selangorku iaitu satu manual berhubung tatacara seragam pengurusan serta penyenggaraan bagi Rumah Selangorku telah disediakan sebagai langkah pencegahan serta pengawalan daripada permasalahan ini daripada terus berulang.

     

  3. Apakah tindakan seterusnya kepada mereka?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.