Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
40) PROGRAM 3W (WOMEN, WELFARE, WELLNESS)
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa bilangan Karnival 3W yang telah dianjurkan pada tahun 2019 dan apakah jumlah perbelanjaan untuk setiap Karnival 3W?
Sehingga kini, sebanyak sembilan (9) Karnival 3W telah dianjurkan melibatkan sembilan (9) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Baki tiga (3) penganjuran lagi akan diadakan pada bulan November dan Disember 2019 yang akan dianjurkan oleh Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor. Kos penganjuran bagi setiap Karnival 3W adalah berjumlah RM100,000.00 dan kos keseluruhan bagi penganjuran dua belas (12) Karnival 3W adalah berjumlah RM1.2 juta. Kos penganjuran ini adalah melibatkan kos logistik, media, promosi, hadiah dan sebagainya.
-
Apakah KPI Karnival tersebut dan adakah ia dicapai?
Program Karnival 3W adalah penambahbaikan kepada program Karnival Sihat Selangor di mana program ini menggabungkan ketiga-tiga portfolio di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga. Objektif utama karnival 3W adalah untuk mengumpul, menyampai dan menyebar maklumat berkaitan program dan aktiviti yang sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan terutama program di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.
Karnival 3W turut membudayakan amalan hidup sihat dengan mendapat maklumat penjagaan kesihatan sebelum mendapat risiko penyakit. Dalam masa yang sama ia memberi peluang kepada masyarakat untuk yang mengetahui kemudahan kebajikan yang ditawarkan kepada golongan yang layak serta menggalakkan penglibatan kaum wanita sebagai ratu di dalam keluarga memastikan kesihatan keluarga di tahap yang baik.
Karnival 3W ini telah mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada rakyat negeri Selangor di mana kehadiran pengunjung yang dicatatkan secara purata di setiap PBT adalah seramai 3000 orang. Karnival ini turut disiarkan dan dikomersialkan di laman-laman media sosial bagi menarik minat pengunjung. Setiap hantaran di laman sosial berkaitan Karnival 3W ini juga telah mendapat reaksi yang positif daripada pengguna laman sosial. Program ini akan terus dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar mencapai objektif yang telah ditetapkan.