Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

36) PROGRAM PENGASINGAN SAMPAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan pengasingan sampah?

    Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk membuat dasar dan undang-undang berkaitan pengasingan sampah. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah menyiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor di mana pengasingan sampah adalah salah satu elemen di dalam enakmen tersebut. Hasrat ini juga telah dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon rundingan perkara ini. Sebagai langkah awal sementara draf RUU tersebut dibincangkan ke peringkat seterusnya, PBT Negeri Selangor telah mula melaksanakan program-program pengasingan sisa atau program kesedaran di kawasan masing-masing contohnya program pengasingan bahan kitar semula di rumah dan pengasingan sisa gerai-gerai atau pasar PBT.

  2. Apakah anggaran kos yang boleh dijimatkan lepas melaksanakan pengasingan sampah?

    Tiada kajian terperinci berkenaan penjimatan kos selepas pengasingan sampah dilaksanakan. Namun, sekiranya program pengasingan sampah dilaksanakan diseluruh kawasan PBT, dijangka penjimatan boleh mencapai sehingga 10% hingga 20% daripada kos perbelanjaan pelupusan sampah PBT.

  3. Apakah halangan untuk perlaksanaan pengasingan sampah?

    Isu utama pengasingan sampah ialah kesedaran penduduk itu sendiri. Penduduk dilihat kurang berminat untuk melaksanakan pengasingan sampah walaupun terdapat usaha-usaha melalui kempen kesedaran, promosi dan sebagainya dilaksanakan di pelbagai peringkat. Berdasarkan tinjauan rambang dan pemerhatian,  antara sebab utama mengapa kurangnya sambutan di kalangan penduduk untuk melaksanakan pengasingan sampah ini adalah kerana mereka menganggap sistem imbuhan atau reward system sedia ada tidak berbaloi dan kurang menarik.  Penduduk juga enggan membuat pengasingan kerana mereka tidak mahu mengeluarkan kos tambahan bagi membeli plastik yang berbeza warna bagi membuat pengasingan sampah.

     

    Di peringkat kerajaan persekutuan, berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), hanya 10 peratus daripada 1.25 juta kediaman bertingkat di negeri-negeri  yang tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang , Kedah dan Johor yang melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca meskipun akta ini telah dikuatkuasakan sejak 1 Jun 2016. Melalui Akta 672 ini, kerajaan persekutuan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal di punca, malah di dalam akta ini juga, terdapat peruntukan advokasi di mana penduduk yang gagal mengasingkan sampah ini boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM1,000.  Ironinya, walaupun akta ini telah dikuatkuasakan, impaknya dilihat masih rendah.

     

    Bagi memastikan kejayaan inisiatif pengasingan sampah di punca ini, kerajaan negeri akan membuat kajian lebih terperinci dan mengkaji model-model pengasingan sampah yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara lain supaya dapat diadaptasi dan dilaksanakan di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.