Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

155) SEKOLAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap keperluan sekolah diÊBandar Puncak Alam yang tidak mencukupi?

    Berdasarkan maklum balas daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Sekolah di Bandar Puncak Alam terdapat 3 buah Sekolah Kebangsaan iaitu SK Puncak Alam, SK Puncak Alam 2 dan SK Puncak Alam 3 dan terdapat 2 buah Sekolah Menengah Kebangsaan iaitu SMK Puncak Alam dan SMK Puncak Alam 3. Pihak JPNS juga telah memaklumkan bahawa pihak Jabatan telah menerima permohonan pembinaan Sekolah Kebangsaan secara CSR daripada pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd dan sedang dalam pertimbangan kelulusan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Jika permohonan pembinaan sekolah secara CSR ini diluluskan oleh KPM ia akan membantu menyelesaikan isu kepadatan murid di Puncak Alam. Kos pembinaan secara CSR ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi membantu ADUN untuk kerja baik pulih sekolah yang usang dan rosak?

    Sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan negeri Selangor adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran. Namun yang demikian, atas dasar keprihatinan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menyediakan sejumlah peruntukan di bawah Projek Bantuan Sekolah melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Kerajaan Negeri bagi membantu pihak Kerajaan Persekutuan mengendalikan pengoperasian dan pengurusan sekolah-sekolah dalam Negeri Selangor. Pada tahun 2019, sebanyak RM24,000,000.00 telah diperuntukkan di bawah program ini.

     

    Selain daripada itu, ADUN boleh menawarkan bantuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan dengan menggunakan Peruntukan Perkhidmatan Masyarakat Kategori Projek Kecil bagi kos projek di bawah RM50,000.00 bagi membantu kerja-kerja baik pulih sekolah yang usang dan rosak.

  3. Apakah bantuan yang diberikan kepada sekolah yang mengalami masalah kewangan bagi menjalankan penyelengaraan pembersihan sekolah dan menjalankan program atau aktiviti tahunan sekolah?

    Pada masa ini bantuan penyelenggaraan di bawah Kerajaan Negeri hanya disediakan untuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Bantuan dana bagi pelaksanaan aktiviti dan program tahunan tidak disediakan. Namun begitu, Kerajaan Negeri amat menggalakkan penganjuran program dilaksanakan secara kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pelaksanaannya adalah peringkat daerah atau peringkat negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.