Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
122) KERAJAAN PRIHATIN
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bilakah pegawai e-Kasih untuk setiap DUN akan mula bertugas bagi membantu mempercepatkan proses permohonan e-Kasih?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri telah melantik seramai 51 orang Pegawai eKasih tambahan, iaitu Pegawai Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU), untuk membantu melancarkan semua urusan berkaitan dengan permohonan e-Kasih daripada Pejabat DUN.
Walaupun para pegawai ini ditempatkan di pejabat-pejabat daerah, mereka akan bertanggungjawab untuk menguruskan semua permohonan e-Kasih yang telah ditetapkan mengikut DUN masing-masing.
Pada masa ini, seramai 51 orang Pegawai e-Kasih tersebut telah ditempatkan di Pejabat Daerah Dan Tanah seperti berikut:-
BIL DAERAH BILANGAN PEGAWAI E-KASIH
(ORANG)
1. Shah Alam (Ibu Pejabat) 8 2. Petaling 6 3. Gombak 6 4. Hulu Langat 5 5. Klang 5 6. Kuala Selangor 5 7. Sabak Bernam 5 8. Hulu Selangor 4 9. Kuala Langat 4 10. Sepang 3 JUMLAH 51 (Sumber jawapan dari Seksyen Khidmat Pengurusan, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor)
-
Apakah bantuan Kerajaan Negeri untuk membantu ibu tunggal yang ramai di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap semua golongan yang memerlukan bantuan termasuklah golongan ibu tunggal di Selangor. Golongan ibu tunggal di Selangor boleh menikmati pelbagai bentuk bantuan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui program-program di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga ataupun melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) serta pelaksanaan program-program oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh Selangor.
Program-program IPR yang disediakan Kerajaan Negeri adalah layak untuk dimanfaatkan oleh semua golongan wanita termasuklah ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sama ada program-program berbentuk kesihatan, pendidikan, perniagaan dan perusahaan mahupun bantuan kepada anak-anak.
Antara program dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk memperkasakan golongan wanita dan ibu tunggal di Selangor ialah seperti berikut :-
BIL PERKARA CATATAN 1. Program Pemberdayaan Wanita Berbentuk kursus-kursus kemahiran, latihan dan bimbingan, program keusahawanan sosial, pembinaan jati diri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga dan 56 Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor. 2. Skim Kesihatan Wanita (Mammosel) Pemeriksaan Saringan Mammogram Percuma kepada Wanita Selangor yang berumur 35 tahun ke atas. 3. Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) Bantuan kewangan bulanan kepada ibu yang berkeluarga yang mempunyai tanggungan anak berumur 21 tahun ke bawah sebanyak RM200.00 sebulan untuk membeli barangan keperluan asas keluarga yang dibenarkan. 4. Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) Bantuan yuran taska atau nurseri sebanyak RM100 setiap bulan. 5. Bantuan Tadika Negeri Selangor (TUNAS) Bantuan yuran tadika sebanyak RM50 setiap bulan. 6. Skim Mikrokredit Hijrah Modal bantuan berniaga sehingga RM50,000.00. 7. Bantuan Sihat Selangor Bantuan kos rawatan bagi pesakit buah pinggang, bantuan kaki palsu, pembedahan katarak serta rawatan – rawatan lain atau pembelian alat sokongan. Kesemua program yang ditawarkan ini meliputi pelbagai aspek bukan sahaja untuk mengurangkan beban kewangan tetapi juga sebagai salah satu jaringan sistem sokongan kepada golongan wanita dan ibu tunggal.