Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

64) PEMOTONGAN METER AIR PREMIS SEKOLAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Rendah Kebangasaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang bekalan air dipotong oleh Air Selangor Sdn Bhd akibat tunggakan bil air sejak 2017.

    Berdasarkan semakan tiada pemotongan bekalan air untuk akaun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada tahun 2017 dan 2018. Hanya satu tindakan pemotongan bekalan air dilaksanakan pada 1 Oktober 2019 yang melibatkan SJKC Rasa disebabkan tiada pembayaran diterima dan jumlah akaun tertunggak telah melebihi 3 bulan.

  2. Apakah SOP yang digunapakai oleh Air Selangor untuk melaksanakan operasi pemotongan meter air ke atas premis sekolah?

    Tindakan penguatkuasaan melalui pemotongan bekalan air oleh Air Selangor diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Seksyen 89(2)(a) iaitu apabila Pengguna atau Penghuni tidak menjelaskan amaun bagi bil air yang telah dibekal dalam tempoh tiga puluh hari (30 hari) dari tarikh penyerahan bil.

    Standard Operating procedure (SOP) yang digunapakai oleh Air Selangor bagi menguatkuasakan peruntukan Akta tersebut mengkehendaki agar satu Notis Pemotongan Bekalan Air bagi tempoh 14 hari dikeluarkan kepada pengguna atau penghuni jika tidak mematuhi tempoh pembayaran yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, Air Selangor mempraktikkan untuk hanya mengeluarkan Notis Pemotongan Bekalan Air jika tunggakan (tidak termasuk bil bulan semasa) melebihi RM100 dan tertunggak untuk tempoh dua (2) bulan.

     

    Apabila tempoh 14 hari Notis diberikan tamat dan pengguna atau penghuni masih gagal membuat pembayaran, barulah tindakan pemotongan bekalan diambil. Bagi sebarang pemotongan bekalan air di premis kerajaan, Air Selangor menetapkan prosedur standard di mana setiap cadangan pemotongan yang hendak dilaksanakan oleh Pejabat Wilayah Air Selangor perlu mendapat kelulusan Jabatan Pengebilan Pelanggan Ibu Pejabat dan membuat rundingan terlebih dahulu dengan pegawai yang bertanggungjawab terhadap akaun bekalan air untuk tempoh 3 bulan berturut-turut. Aktiviti pemotongan bekalan hanya dilaksanakan jika tiada penyelesaian pembayaran dibuat.

    Jabatan Perkhidmatan Pengebilan Pelanggan telah menerima permohonan bagi pelaksanaan pemotongan bekalan air di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Jalan Cemperai 2C/1, Taman Rasa Utama pada 10 September 2019. Dengan tunggakan bil air terkumpul sehingga bulan Julai 2019 berjumlah RM6,772.78. Notis Pemotongan Bekalan Air telah dihantar ke pejabat sekolah pada 1 Ogos 2019. Beberapa siri perbincangan telah diadakan namun menemui kegagalan apabila tidak mendapat komitment dari pihak sekolah untuk membuat pembayaran.

  3. Adakah Air Selangor sedar bahawa operasi pemotongan meter air di SJKC Rasa, Hulu Selangor telah menjejaskan imej Kerajaan Negeri yang peduli rakyat?

    Pihak SJKC Rasa telah diberikan tempoh yang mencukupi bagi membayar tunggakan tersebut tetapi masih gagal berbuat demikian. Tindakan pemotongan bekalan adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak di mana jika tiada penyelesaian, tunggakan ini akan terus meningkat dan menyukarkan pihak sekolah untuk menjelaskan segala tunggakan tersebut. Satu perjumpaan juga telah diadakan bersama Yang Berhormat Kuala Kubu Baharu dan pihak sekolah bagi menyelesaikan masalah ini. Pemotongan bekalan air telah dilaksanakan pada 1 Oktober 2019 dan penyambungan semula bekalan pada hari yang sama selepas Air Selangor menerima pembayaran dan pihak sekolah bersetuju bagi membuat pembayaran secara ansuran.

Lampiran

Tiada Lampiran.