Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

20) PENJAWAT AWAM

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan penjawat awam bawah Negeri Selangor dengan perbandingan tahun yang lepas?

    Berdasarkan rekod yang diperolehi, berikut adalah pecahan jumlah penjawat awam di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor mengikut tahun 2018 dan 2019 (sehingga Jun 2019):

     

    BIL TAHUN TETAP KONTRAK JUMLAH KESELURUHAN
    1. 2018 17,305 5,759 23,064
    2. 2019

    (Sehingga Jun 2019)

    17,183 5,884 23,067
  2. Apakah langkah untuk peningkatan bilangan penjawat awam yang makin tinggi dengan mengunakan teknologi baru?

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerima pakai Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan mulai tahun 2018 dalam mengawal bilangan penjawat awam khususnya Lantikan Tetap di Negeri Selangor.

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga menekankan penggunaan sumber manusia secara optimum pada semua Jabatan/agensi. Antara lain dengan memperkasa penggunaan teknologi melalui pelaksanaan inovasi, pewujudan system dan aplikasi serta penggunaan mesin-mesin dalam pelaksanaan tugas. Inisiatif ini dapat memudahkan tugas seharian penjawat awam serta memudahkan orang awam untuk berurusan dengan Jabatan/agensi kerajaan.

    Selain itu juga, dalam memastikan peningkatan kemahiran (soft skill) dan kompetensi penjawat awam seiring dengan perkembangan teknologi baharu dan bagi memenuhi keperluan masa kini, pelbagai kursus dan latihan telah disediakan oleh Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Antaranya dengan melaksanakan latihan-latihan yang menyokong dasar “Being Digital” seperti pelaksanaan Program Pengurusan Perubahan Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) di kalangan penjawat awam Negeri Selangor. Program DGCCR ini antara lain bertujuan meningkatkan kemahiran digital penjawat awam dalam menjalankan tugas seharian dengan menggabungkan kemahiran multidisiplin lain untuk memberikan perkhidmatan awam yang terbaik kepada rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.