Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

19) MAKLUMAN DAN PENGESAHAN RASMI BERKAITAN PELAKSANAAN KERJA-KERJA OLEH PIHAK KONTRAKTOR LANTIKAN PEJABAT DAERAH DARI PENGERUSI MPKK DI KAWASAN KAMPUNG BAGI TUJUAN PEMANTAUAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengapakah tiada pemakluman dari pihak kontraktor Pejabat Daerah kepada Ketua Kampung semasa bermulanya pelaksanaan sesuatu kerja kontrak di kawasan kampung?

    Untuk makluman Y.B, Pentadbiran ini memberikan sesalinan surat tawaran kerja kontraktor kepada Ketua Kampung setiap kali kontraktor dilantik bagi sesuatu kerja. Salinan surat ini meliputi semua kerja-kerja yang dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri dan peruntukan Ahli Parlimen. Selain itu, lawatan tapak juga dibuat terlebih dahulu di antara kontraktor, Ketua Kampung dan Penolong Jurutera kawasan sebelum kontraktor memulakan kerja.

  2. Mengapakah pengesahan secara rasmi dari Ketua Kampung untuk memastikan kerja-kerja kontrak telah siap sepenuhnya tidak dijadikan sebahagian dari prosedur kerja-kerja kontrak yang dijalankan pihak kontraktor Pejabat Daerah di dalam kawasan sesuatu kampung?

    Pengesahan secara rasmi dari Ketua Kampung setelah sesuatu kerja kontrak disiapkan bukan merupakan salah satu dokumen yang disyaratkan dalam garis panduan/ senarai semak berkaitan tuntutan bayaran oleh pihak kontraktor yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Sekiranya perkara ini hendak dilaksanakan, garis panduan tersebut perlu disemak semula oleh pihak JKR untuk dilaksanakan dalam semua kerja yang akan datang. Walau bagaimanapun, Penolong Jurutera yang menyelia sesuatu projek mempunyai kelayakan yang mencukupi dalam mengesahkan bahawa projek yang telah disiapkan mematuhi spesifikasi/ kontrak kerja yang telah ditetapkan oleh jabatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.