Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

193) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah unit Rumah Selangorku terkini yang telah berjaya diserahkan kuncinya kepada pemohon.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Dasar Rumah Selangorku hanya mula diperkenalkan pada tahun 2014. Sepanjang tempoh 2014 hingga
    30 Jun 2019, sebanyak 10,168 unit dengan 31 projek unit Rumah Selangorku telah siap dibina dan telah diserahkan kunci. Sehingga penghujung tahun 2019, Kerajaan Negeri menjangkakan penambahan sebanyak 6,310 unit (14 projek) lagi dapat disiapkan dan diserahkan kunci kepada pemilik yang berjaya.

     

  2. Senaraikan projek Rumah Selangorku yang bermasalah

    Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sebanyak
    6 projek dengan 3,938 unit Rumah Selangorku yang dilaporkan mengalami kelewatab pembinaan dan senarai projek tersebut adalah seperti berikut:-

     

    Bil Nama Projek Unit Isu & Permasalahan
    1 Rumah Selangorku Setia Eco Templer 900 Pemaju menghadapi masalah mendapan tanah di tapak.
    2 Symphony Park Cyberjaya 850 Pemaju didapati tidak mematuhi syarat kelulusan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan kini tidak berdaya meneruskan projek. Pemaju kini dalam proses menjual projek kepada pemaju yang berminat meneruskan projek.
    3 Rumah Selangorku Taman Sg Yu 499 Pemaju dalam proses perbincangan bersama pihak SYABAS bagi menyelesaikan isu ketidakpatuhan spesifikasi infrastruktur yang telah disiapkan di tapak.
    4 Rumah Selangorku Saujana Aman 315 Isu kecurian peralatan TNB di tapak menyebabkan pemaju terpaksa menangguhkan  tarikh penyerahan kunci.
    5 Rumah Selangorku Bandar Saujana Putra 1,312 Pemaju mengalami masalah aliran tunai dan kini dalam perbincangan dengan pihak Kerajaan Negeri untuk menyusun semula fasa pembinaan milik mereka di Negeri Selangor.
    6 Rumah Selangorku Bandar Glenmarie 332 Sebahagian tapak projek milik pemaju terlibat dengan penjajaran laluan LRT yang menyebabkan perancangan semula komponen kediaman termasuk unit Rumah Selangorku
    Jumlah 3,938  
  3. Apakah pelan tindakan yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

    Sebagai langkah pencegahan untuk memastikan pembinaan Rumah Selangorku berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku yang mana fungsinya adalah seperti berikut :-

     

    • Melaporkan status pembangunan Rumah Selangorku yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada tahun 2014 sehingga kini khususnya yang masih belum mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang di PBT.

     

    • Mengenalpasti isu-isu berbangkit yang mengakibatkan pemaju masih gagal mengemukakan pelan Kebenaran Merancang.

     

    • Menyelaras dan memudahcara proses-proses kelulusan Rumah Selangorku di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi.

     

    • Mengadakan lawatan tapak secara berkala dan melaporkan kepada Jawatankuasa.

     

    • Memohon pemaju untuk mengemukakan Jadual Kemajuan Kerja di tapak setiap 3 bulan sekali.

     

    • Mengesyorkan arahan pembekuan atau ‘Stop Work Order’ bagi pembangunan berkaitan sebelum diangkat untuk persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.