Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

159) INSENTIF UNTUK PELADANG

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah insentif khas kepada peladang/nelayan di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan sedia maklum berkenaan kekangan modal untuk pembelian peralatan dan input pertanian kepada agroprenuer di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran. Atas faktor tersebut, sejumlah RM27,898,000.00 telah diperuntukan bagi pembangunan sektor pertanian termasuk pemberian bantuan dan insentif kepada golongan nelayan, petani, penternak dan Industri Asas Tani (IAT) manakala jumlah keseluruhan peruntukan termasuk peruntukan dari Kerajaan Pusat yang disalurkan melalui jabatan dan agensi berjumlah hampir RM55,000,000.00.

     

    Namun begitu, bagi pemberian insentif khas kepada peladang/nelayan di Negeri Selangor tidak dilaksanakan secara berterusan memandangkan konsep pemberian khas adalah berdasarkan kepada permohonan (case-by-case basis) yang disebabkan oleh penurunan hasil secara mendadak kesan daripada penularan penyakit atau faktor cuaca yang melampau.

     

    Sebagai contoh pemberian Bantuan Kewangan kepada pesawah yang terkesan akibat dari serangan penyakit Bacteria Leaf Blight (BLB) pada tahun 2017 yang lepas melibatkan perbelanjaan sebanyak RM7,641,207.00.

  2. Berapakah sumbangan hasil daripada aktiviti perladangan kepada Negeri Selangor?

    Sumbangan secara terus dari aktiviti perladangan kepada Negeri Selangor hanyalah melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu sebanyak RM3.0 juta bagi bagi pelaksanaan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor.

     

    Walau bagaimanapun, sumbangan secara tidak terus melalui aktiviti perladangan atau pertanian secara terus adalah melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor yang bernilai RM3.98 Bilion pada tahun 2017 dan pertanian makanan merangkumi lebih kurang RM1.41 Bilion atau 35.4% dari keseluruhan KDNK Pertanian Negeri Selangor.

  3. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi melonjakkan pendapatan hasil pertanian bersesuaian dengan anjakan ke arah IR 4.0?

    Kerajaan Negeri sedang giat memberikan penerangan dan kesedaran kepada agropreneur Negeri Selangor khususnya di dalam pelaksanaan tanaman berkonsepkan teknologi tinggi dan moden seperti penggunaan Sistem Pelindung Hujan (SPH) dan Internet Of Things (IoT) yang boleh memberikan pulangan yang lebih baik berbanding penggunaan kaedah secara konvensional. Dalam masa yang sama juga, melalui konsep penanaman secara fertigasi, penggunaan sistem-sistem kawalan secara atas talian (online) boleh mengurangkan kos operasi selain daripada penerapan pelaksanaan pertanian persis (precision agriculture), sistem akuaponik dan pertanian bandar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.