Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

195) LRA SEMENYIH 2, LANGAT 2 DAN LABOHAN DAGANG

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini perlaksanaan projek loji rawatan air tersebut?

    Projek LRA Semenyih 2 telah siap dan dioperasikan oleh Air Selangor mulai pada 01 Mac 2018 manakala Projek LRA Labohan Dagang yang juga telah siap pembinaannya akan mula dioperasikan oleh Air Selangor pada 01 Ogos 2019.  Bagi pembinaan LRA Langat 2 (Fasa 1) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Kerajaan Negeri Selangor dimaklumkan keseluruhan pembinaannya telah mencapai  76.90%.  Pada ketika ini, kerja-kerja pengujian dan pentauliahan loji sedang dilaksanakan oleh PAAB mulai pada 09 Julai 2019 yang dijadualkan akan berlangsung selama 3.5 bulan.

  2. Sejauh manakah operasi LRA tersebut dapat menampung peningkatan penggunaan air di Selangor?

    Pada tahun 2018, purata pengeluaran air bersih dari 33 Loji Rawatan Air sedia ada dapat membekalkan sebanyak 4,862 JLH air terawat manakala kapasiti boleh agih adalah sebanyak 5,127JLH.  Rizab simpanan air pada tahun 2018 adalah pada kadar 5.2 % dengan mengambil kira sumbangan dari LRA Semenyih 2 yang mula beroperasi pada 01 Mac 2018 berbanding tahun 2017 pada kadar 3.7% sahaja.

    Mengikut unjuran yang dibuat oleh Air Selangor, purata kadar simpanan air untuk tempoh setakat 30 Jun 2019 adalah pada kadar 2.4%.  Unjuran ini dibuat dengan mengambil kira peningkatan permintaan penggunaan air yang dianggarkan sebanyak 3.5% setahun.  Kadar simpanan ini dapat ditingkatkan apabila LRA Labohan Dagang Fasa 1 beroperasi pada bulan Ogos 2019 dan diikuti dengan kemasukan air bersih sebanyak 325JLH dari LRA Langat 2 yang dijangkakan pada bulan Oktober 2019 yang akan menjadikan kadar simpanan meningkat hingga 7.76%.  Tanpa sumbangan dari loji LRA Langat 2 ini, kadar simpanan air bersih diunjurkan hanya sebanyak 1.2% pada bulan Oktober 2019. Ini menunjukkan bahawa operasi LRA baru dapat menampung peningkatan penggunaan air di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.