Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
191) PENGGUNAAN STRAW
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan cara-cara Kerajaan untuk mengawal penggunaan straw.
Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk mengadakan larangan terhadap beg plastik dan polisterina pada setiap hari bermula 1 januari 2017. Melalui kempen yang dilancarkan ini, kutipan caj terhadap penggunaan beg plastik adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Caj ini dikenakan oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya.
Pada 1 Julai 2019 juga, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen #BebasStrawPlastik bagi tujuan penjagaan alam sekitar terhadap penggunaan straw plastik yang semakin meningkat. Melalui kempen ini, peniaga tidak dibenarkan untuk menyediakan straw plastik secara automatik atau ‘default’ bagi setiap minuman yang dipesan. Peniaga juga dilarang menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas dan hanya adakan diberikan atas permintaan pelanggan secara percuma.
Dasar-dasar dan kempen yang diadakan ini adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober 2018.
-
Apakah tindakan Kerajaan untuk peniaga degil?
Pada masa ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengedarkan notis pematuhan kepada peniaga bagi pelaksanaan kempen #Bebasplastik oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kriteria ini juga telah dimasukkan di dalam borang pemeriksaan Peniaga Terbaik Pasar Ramadhan sebagai salah satu kriteria bagi menggalakan pengurangan penggunaan plastik dikalangan peniaga .
Pihak PBT juga membuat semakan terhadap pemilik premis perniagaan dan akan mengeluarkan Notis Pematuhan Syarat (NPS) kepada pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi syarat larangan penggunaan plastik.