Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

190) KUALITI TURAPAN JALAN

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai garis panduan dalam memantau kualiti turapan jalan?

    Garis panduan telah tersedia ada bagi memantau kualiti turapan jalan. Pemantauan kualiti kerja-kerja turapan oleh JKR Negeri Selangor dilakukan berdasarkan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Senggara Jalan dan juga spesifikasi turapan jalan yang dikeluarkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibupejabat JKR Malaysia. Antara panduan dalam SOP tersebut:

    • Kerja penampalan sementara untuk potholes akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam dan penampalan kekal akan dilaksanakan dalam tempoh 3 hari.
    • Rondaan audit sentiasa dilakukan melibatkan JKR Daerah dan konsesi bagi memantau keadaan jalan sebenar di tapak.
    • Bagi mengawal aspek kualiti, JKR Selangor mengambil tindakan dengan melaksanakan audit kuari untuk memastikan campuran asphalt yang digunakan adalah mengikut spesifikasi dan mempunyai ketahanan.
    • Kerajaan Negeri bercadang untuk mensyaratkan akreditasi khas ke atas kontraktor yang menjalankan kerja-kerja turapan jalan.
  2. Apakah tindakan yang diambil terhadap kontraktor yang tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan?

    1. Antara tindakan yang diambil terhadap kontraktor adalah seperti berikut:
    • Membuat pemotongan kepada tuntutan bayaran yang dikemukakan oleh pihak kontraktor.
    • Pihak kontraktor akan dikenakan denda atau Non Conformance Report (NCR) kepada kontraktor yang tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.
    • Kontraktor yang mempunyai rekod buruk tidak akan dipertimbangkan di dalam projek-projek yang akan datang.
  3. Mengapakah jalan yang baru diturap pecah semula dalam waktu yang singkat?

    Faktor-faktor mengapa jalan baru diturap rosak semula dalam waktu yang singkat seperti yang didakwa adalah seperti berikut;

    1. Keadaan tanah semulajadi di Negeri Selangor (Marine Clay) dan tanah gambut yang tidak dapat menampung beban lebih muatan kenderaan di Negeri Selangor terutama di Daerah Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
    2. Faktor pertambahan bebanan trafik dan kenderaan berat lebih muatan yang melalui jalan tersebut menyebabkan berlakunya kegagalan pada struktur jalan berkenaan.
    3. Kerja – kerja korekan jalan yang dilakukan oleh pihak utiliti turut menjadi punca jalan – jalan berlubang. Setelah kerja – kerja pemasangan kabel paip dilakukan, jalan berkenaan tidak diturap dengan baik dan ia menyebabkan jalan menjadi lebih mudah rosak.

    Kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang dilaksanakan bukanlah bertujuan untuk menambah jangka hayat jalan berkenaan. Ia juga bukan penyelesaian sebenar ke atas masalah kerosakan jalan yang sering dihadapi. Bagi menjamin jangka hayat yang lebih panjang, kerja-kerja menaiktaraf (pengukuhan) perlu dilaksanakan ke atas jalan berkenaan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.