Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

175) PENCEMARAN AIR SUNGAI SEMENYIH 26 JUN 2019

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kenapakah pencemaran ini masih terus berlaku dan apakah punca kepada pencemaran ini?

    Sungai Semenyih merupakan sungai yang membekalkan sumber air kepada LPA Sungai Semenyih. Berdasarkan statistik pencemaran dan henti tugas loji, pencemaran Sungai Semenyih disebabkan oleh efluen dari industri di bahagian hulu sungai dan juga anak-anak sungainya seperti Sungai Rinching. Selain itu, Sungai Semenyih juga menerima aliran air dari Sungai Buah yang merupakan sungai merentas sempadan dari Negeri Sembilan di mana di bahagian hulunya merupakan kawasan perindustrian Nilai. Walau bagaimanapun terdapat juga individu yang tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan di rizab sungai  atau di dalam sungai seterusnya menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih.

     

    Di bahagian hulu takat pengambilan air (water intake) Sungai Semenyih terdapat Kawasan Perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Semenyih dan Kawasan Perindustrian Beranang. Bagaimanapun hanya terdapat 23 buah kilang di mana proses pengeluarannya menghasilkan sisa air buangan terawat (treated effluent) yang dilepaskan ke Sungai Semenyih. Pihak Jabatan Alam Sekitar sentiasa memantau dan memastikan sisa air buangan terawat ini mematuhi standard pelepasan yang dibenarkan sebelum memasuki Sungai Semenyih. Pada 26 Jun 2019  air Sungai Semenyih telah dikesan berbau minyak sawit sebelum memasuki Logi Rawatan Air Semenyih. Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar dan beberapa agensi lain pada tarikh tersebut mendapati bau yang sama dikesan di longkang luar berhampiran sebuah kilang yang disyaki di Kampung Rinching. Sampel pencemar diambil dan telah dihantar ke Jabatan Kimia. Siasatan lanjut terhadap kilang tersebut mendapati loji rawatan air buangan kilang mengalami kerosakan. Pihak kilang telah menghentikan pelepasan air dari logi tersebut serta merta semasa kejadian. Loji tersebut juga telah disita oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan sisa air tidak terawat dilepaskan dan bagi membolehkan pembaikan dapat dibuat dengan segera. Walau bagaimanapun keputusan laporan kimia daripada sampel yang diambil pada 26 Jun 2019 menunjukkan parameter-parameter pencemar yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian ) 2009 adalah tidak melebihi had yang dibenarkan. Bau sisa air buangan daripada industri makanan tidak tersenarai antara parameter yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian ) 2009 kerana ianya tidak memudaratkan.

     

    Jabatan Alam Sekitar akan terus memantau operasi kilang ini bagi memastikan ianya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini daripada berulang semula?

    Pencemaran sungai merupakan isu yang kerap kali berulang dan ada di antaranya menyebabkan henti tugas loji pembersihan air. Bagi mengelakkan isu pencemaran ini berulang, Kerajaan Negeri telah melaksanakan langkah-langkah kawalan seperti berikut:

    • Mengadakan perbincangan dan tindakan susulan melalui dua (2) jawatan kuasa yang ditubuhkan iaitu Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.B Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;
    • Melaksana dan mengemaskini serta tindakan bersepadu bagi inventori punca pencemaran di Sungai Semenyih berdasarkan kajian guna tanah di rizab sungai dan inventori yang telah dilaksanakan;
    • Menguatkuasa dan menjalankan pemantauan kawalan pencemaran melalui Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 dan Peraturan Kemasukan dan Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012
    • Menjalankan pemantauan statik dan pensampelan selama 24 jam di lokasi utama yang menyebabkan pencemaran. Sebagai contoh pemantauan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Buah;
    • Melaksanakan pembinaan stesen kuantiti dan kualiti sumber air di lembangan sungai bagi melengkapi rangkaian stesen sedia ada. Pembangunan stesen di Sungai Langat telah siap dan sedang digunapakai. Pihak LUAS juga akan bekerjasama dengan pihak Pengurusan Air Selangor bagi pemasangan stesen kualiti air telemetri di Sungai Semenyih sebagai pemantauan amaran awal pencemaran untuk mengelakkan henti tugas muka sauk;
    • Meningkatkan pengambilan dan kompetensi kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan LUAS;dan
    • Menjalankan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan dengan mengoptimumkan pelaksanaan undang-undang dan arahan bagi memastikan sumber air terpelihara.

    Jabatan Alam Sekitar akan terus memantau operasi kilang ini bagi memastikan ianya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.