Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

112) KPI SEBAGAI PENILAIAN PEMBERIAN SUMBANGAN KHAS KERAJAAN NEGERI SEPERTIMANA DASAR YANG DIPUTUSKAN KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah pemberian sumbangan khas baru-baru ini berdasarkan prestasi KPI penjawat Awam Selangor?

    Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam di Negeri Selangor seperti yang diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor semasa Majlis Rapat Ramadan pada 17 Mei 2019 adalah berdasarkan Garis Panduan Pembayaran Bantuan Khas Kewangan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H Tahun 2019 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan tidak berdasarkan prestasi. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa sesi mesyuarat dan perbincangan bersama semua pengurus sumber manusia jabatan dan agensi di bawah Pentadbiran ini untuk mendapatkan input bagi melaksanakan pemberian BKK berdasarkan prestasi. Kertas cadangan berhubung pelaksanaan pemberian BKK berdasarkan prestasi akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.

  2. Bagaimanakah prestasi Penjawat Awam Selangor berdasarkan penilaian setengah tahun 2019?

    Prestasi penjawat awam dinilai berdasarkan instrumen penilaian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dengan mengambil kira pencapaian Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang telah ditetapkan pada awal tahun dan  disemak semula pada pertengahan tahun. Berdasarkan pekeliling Perkhidmatan dan surat pekeliling Perkhidmatan yang berkaitan dengan SKT dan LNPT yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil.4/2002 (Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia Bagi Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan) dan telah dibuat pindaan melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.2/2009 (Pemantapan Pengurusan Sistem Penilaian Prestasi Pegawai Perkhidmatan Awam) dan  Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.3/2009 (Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam) yang telah digunapakai sepenuhnya di Pentadbiran ini di mana pelaksanaan LNPT bagi penjawat awam adalah bertujuan untuk mempertingkatkan prestasi dan motivasi pegawai, mengenal pasti potensi pegawai, instrumen penilaian untuk kemajuan kerjaya seperti kenaikan pangkat, latihan, penempatan dan  pembangunan pegawai, penentuan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang/ Bintang Kebesaran/ surat penghargaan dan penentuan pergerakan gaji. Perkara-perkara yang dinilai di dalam LNPT adalah merangkumi penghasilan kerja pegawai, pengetahuan dan kemahiran pegawai, kualiti peribadi pegawai, jalinan hubungan dan kerjasama pegawai dan kegiatan dan sumbangan pegawai.  Sehubungan dengan itu, penilaian prestasi penjawat awam akan dinilai secara keseluruhannya dengan menggunakan instrumen penilaian LNPT pada hujung tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.