Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
40) MB INCOPORATED (MBI)
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah sistem yang diamalkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk memastikan akauntability dan ketelusan dari segi urustadbir?
Sebagai badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [Enakmen No. 3, Tahun 1994] pada 21 September 1994, MBI sentiasa mengutamakan amalan terbaik tadbir urus korporat bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam menjalankan tanggungjawab untuk menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan ekonomi dan kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Sehubungan itu, MBI mempraktikkan amalan terbaik tadbir urus korporat dan, di mana sesuai, menerimapakai amalan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (“Malaysian Code of Corporate Governance” atau “MCCG”) yang hanya terpakai kepada syarikat-syarikat tersenarai Top 100 di Bursa Malaysia.
Bagi memenuhi Prinsip Pertama MCCG iaitu Kepimpinan dan Keberkesanan Lembaga Pengarah, MBI telah menubuhkan tiga (3) Jawatankuasa Lembaga Pengarah iaitu Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan, dan Jawatankuasa Pelaburan dan Kewangan bagi membantu Ahli Lembaga Pengarah MBI mentadbir urus MBI.
Bagi memenuhi Prinsip Kedua MCCG iaitu Audit dan Pengurusan Risiko yang Berkesan, MBI telah mewujudkan Jabatan Audit Dalaman yang melapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko yang dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Yang Bebas. Jabatan Audit Dalaman MBI juga melaksanakan pelan audit secara berkala yang melibatkan audit ke atas anak-anak syarikat MBI bagi memastikan kawalan dalaman mencukupi dan efektif.
Bagi memenuhi Prinsip Ketiga MCCG iaitu Integriti Pelaporan Korporat, MBI telah menyelaraskan sistem perakaunan MBI dan anak-anak syarikat dan mematuhi piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang mengutamakan ketelusan pelaporan, akauntabiliti dan kecekapan.
-
Sila senaraikan projek pembangunan yang dijalankan oleh MBI sejak tahun 2018, dan keuntungan yang diperolehi
Projek usahasama pembangunan tanah yang ditransaksi oleh MBI sejak tahun 2018 adalah seperti butiran berikut :-
▪ Sg Serai, Bandar Kundang
▪ Kg. Kubu Gajah, Mukim Sg Buloh
Pada masa ini, projek ini masih dalam proses memenuhi condition precedents (pra-syarat) yang dipersetujui sebelum sebarang kerja dijalankan. Projek usahasama pembangunan tanah dengan pemaju yang dilantik oleh MBI menerusi proses tender terbuka ini adalah projek-projek jangka panjang di mana keuntungan serta perolehan yang bakal direkod dan diperolehi bergantung kepada pematuhan condition precedents yang telah dipersetujui.