Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

24) PENETAPAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah piawaian yang digunakan oleh Kerajaan Negeri di dalam menetapkan status kampung tradisi?

    Negeri Selangor mempunyai sebanyak 371 buah Kampung Tradisi yang telah diiktiraf. Pengiktirafan Kampung Tradisi diberi berdasarkan kriteria tertentu seperti mana dinyatakan di dalam Buku Manual Panduan Kerja JKKK Negeri Selangor Darul Ehsan (September, 2001) dan Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor, di mana definisi kampung adalah kampung-kampung yang mempunyai salah satu atau kombinasi dari kriteria seperti berikut:

    1. Kawasan yang aktivitinya 60% pertanian;
    2. Jumlah penduduk yang kurang daripada 10, 000 orang;
    3. Kurang kemudahan infrastruktur;
    4. Terletak di luar kawasan Majlis Daerah/Kerajaan Tempatan;
    5. Termasuk lingkungan kawasan kampung tradisi; dan
    6. Mengamalkan budaya desa dalam urusan harian di sesuatu kampung.

    Pengiktirafan ini juga mengambil kira kemudahan sosial dan awam sedia ada di kampung-kampung tersebut seperti surau, balai raya, tanah perkuburan, kedai runcit dan kedai makan.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) telah menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 pada tahun 2016 yang bertujuan menetapkan halatuju perancangan dan pembangunan kawasan desa yang jelas dan terperinci di Negeri Selangor selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan Gagasan SmartSelangor.

    Berdasarkan kajian tersebut, piawaian ataupun klasifikasi penilaian sesebuah Kampung Tradisi turut dibuat berdasarkan ciri-ciri seperti berikut:

    1. Kampung yang wujud secara organik; dan
    2. Kampung yang merupakan kawasan penempatan yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu untuk beberapa generasi dan mempunyai ciri-ciri perkampungan Melayu yang menonjol.

    Bagi Kampung Tradisi di bandar, terdapat kampung yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi dengan majoriti penduduk terlibat dengan aktiviti bukan pertanian manakala Kampung Tradisi di kawasan desa mempunyai bilangan penduduk berdensiti rendah dan bergantung kepada aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian, penternakan dan sebagainya dengan corak penempatan secara berjajar atau berkelompok serta masih mempunyai ciri-ciri pengekalan kedesaan yang jelas.

  2. Adakah pihak pentadbir Daerah dan Tanah Klang mempunyai perancangan untuk memecahkan pentadbiran Kampung Meru dan Kampung Haji Sharif kepada dua MPKK yang berasingan?

    Soalan ini akan di jawab bersekali dengan soalan daripada YB. Morib nombor 72 – Isu Kampung Tradisi Kanchong Darat.

     

    Kajian Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 yang telah dijalankan pada tahun 2017 telah mencadangkan persempadanan semula kawasan kampung dengan pembentukan ‘kampung-kampung’ yang mana jumlah penduduknya kurang daripada sasaran ‘10,000 penduduk’.

     

    Sebagai permulaan, UPEN melaui PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019-2023 (PTK Desa). Kajian ini akan menyediakan suatu pelan tindakan komprehensif perancangan termasuklah mengkaji aspek persempadanan semula kampung-kampung dalam bandar ini memandangkan terdapat sesetengah kampung ini menerima tekanan pembangunan yang tinggi serta mempunyai bilangan penduduk sehingga 100,000 orang seperti di Kampung Bukit Naga, Klang.

     

    Untuk itu, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan perkara yang dibangkitkan oleh pihak YB berkenaan perkara ini. Sehubungan itu, pihak yang berkaitan iaitu penduduk kampung melalui MPKK dan Yang Berhormat ADN Kawasan boleh mencadangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan untuk memecahkan pentadbiran ataupun sempadan Kampung Tradisi berkenaan. Namun perkara ini perlulah memenuhi kriteria – kriteria yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor seperti berikut:

     

    • Kampung tersebut merupakan sebuah Kampung Tradisi;
    • Pemecahan sebuah Kampung Tradisi sedia ada disebabkan oleh pendudukan sesebuah kampung asal terlalu padat;

     

    Sesebuah kawasan kampung juga perlu mempunyai kemudahan – kemudahan asas seperti masjid dan sekolah bagi keperluan penduduk. Pelbagai perkara juga perlu diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum ianya diangkat sebagai satu keputusan kerana ianya melibatkan pelbagai pihak berwajib dan agensi yang akan terlibat sama di dalam membuat keputusan dasar tersebut.

     

    Selain daripada itu, ianya juga akan melibatkan pertambahan peruntukan pembangunan, peruntukan belanja mengurus dan pelbagai kemungkinan yang akan memberi implikasi kewangan kepada jabatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.