Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

23) BANGUNAN TERBIAR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah dan contoh yang sedang dan akan diambil untuk menyelesai isu tapak pembinaan, pusat beli-belah, kompleks terbiar di dalam Negeri Selangor?

    PBT tidak mempunyai kuasa dari segi perundangan untuk mengambil tindakan terhadap projek – projek terbengkalai secara spesifik. Walaubagaimanapun, PBT boleh memantau dan memastikan tapak-tapak projek terbengkalai tersebut tidak menimbulkan kacauganggu kepada penduduk persekitaran dengan mengeluarkan arahan untuk pembersihan tapak dan memasang papan pelindung. PBT juga boleh memasuki tapak untuk kerja-kerja pembersihan dan kawalan haiwan perosak (termasuk nyamuk aedes) sekiranya pemilik gagal menjaga tapak binaan mereka.

  2. Adakah perancangan untuk mentransformasi bangunan komersial kepada rumah mampu milik atau SOHO dapat ditimbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri pada dasarnya tiada halangan untuk pihak pemaju mentranformasikan bangunan komersial kepada Pangsapuri Perkhidmatan / SOHO memandangkan kategori penggunaan tanah / syarat nyata tanah adalah perniagaan / komersial. Walau bagaimanapun, pindaan bangunan komersial kepada pangsapuri perkhidmatan / SOHO tersebut akan tertakluk kepada Dasar Pembangunan Pangsapuri Perkhidmatan dan Boutique Office Mampu Milik Negeri Selangor yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 1 September 2016.

    Sekiranya bangunan komersial dipinda kepada rumah mampu milik, kategori penggunaan tanah perlu ditukar kepada bangunan kediaman terlebih dahulu. Pengenaan syarat rumah mampu milik tersebut pula tertakluk kepada Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 2 April 2018.

Lampiran

Tiada Lampiran.