Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

11) PELABURAN ANTARABANGSA KE SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan dalam membawa masuk pelabur antarabangsa ke Selangor?

    Usaha menarik pelaburan ke Negeri Selangor adalah usaha yang dilaksanakan secara berterusan. Bagi menarik lebih banyak pelaburan, Kerajaan Negeri melalui agensi penggalakkan pelaburan iaitu Invest Selangor telah merangka dan melaksanakan beberapa strategi seperti berikut;-

    Strategi jangka masa panjang;-

    • Melaksanakan perancangan pelan perancangan strategik sektor perindustrian yang telah diterbitkan.
    • Merangka dan memacu hala tuju pembangunan perindustrian melalui Majlis Mesyuarat yang ditubuhkan seperti;-

    i. Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC)

    ii. Selangor Halal Council

    iii. Selangor Aerospace Council

    iv. Selangor BioTech Council

    • Meningkatkan usaha promosi di luar Negara seperti program misi pengalakkan pelaburan ke luar Negara sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun ke Negara-Negara yang berpotensi dan yang telah dikenal pasti.
    • Program promosi melalui media cetak dan elektronik.
    • Mewujudkan jaringan hubungan atau networking dengan agensi-agensi yang berkaitan (agensi kerajaan, kedutaan, Dewan-Dewan Perniagaan dalam dan luar Negara).
    • Mewujudkan rakan hubungan strategik dengan agensi-agensi yang berkaitan.
    • Cadangan pengkelasan kawasan perindustrian mengikut standard kawasan perindustrian luar Negara bagi menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif mengikut keperluan industri.
    • Mewujudkan kawasan perindustrian yang selesa dan kondusif berkonsepkan Managed Industrial Parks.
    • Penganjuran ekspo dan forum bertaraf antarabangsa.
    • Penerbitan buku panduan Doing Business in Selangor : A Guide Book fo Investors

     

    Strategi jangka masa pendek;-

    • Penjenamaan dan mempromosikan kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi melalui media cetak atau elektronik.
    • Pengemaskinian dan penyediaan buku panduan pelaburan yang komprehensif dan mudah untuk dijadikan bahan rujukan para pelabur.
    • Membantu pihak industri menyelesaikan isu – isu pelaburan yang berbangkit melalui Mesyuarat Penyelarasan Projek yang diadakan setiap bulan dan dipengerusikan oleh YB EXCO.
    • Memperkasakan peranan Unit Pelaburan PBT bagi membantu para pelabur dalam proses kelulusan pembangunan.
    • Menyediakan peruntukkan khusus bagi penyelenggaran kawasan perindustrian di setiap PBT.
    • Mengadakan Mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) di setiap Pihak Berkuasa Tempatan bagi membantu menyelesaikan isu-isu kawasan perindustrian yang dihadapi oleh pelabur di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
  2. Berapa nilai pelaburan antarabangsa yang telah berjaya dibawa masuk ke Negeri Selangor sejak Mei 2018?

    Bagi tempoh April 2018 sehingga Mac 2019, sebanyak 281 projek perkilangan telah diluluskan oleh MIDA di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 19,656,321,411 (RM 19.656 bilion). Daripada jumlah ini sebanyak RM 8,637,653,573 (43%) adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 11,018,667,838 (57%) daripada pelaburan asing.

  3. Berapa jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan bagi usaha-usaha membawa masuk pelabur antarabangsa?

    Jumlah kos yang telah digunakan oleh Invest Selangor sepanjang usaha mencari pelabur bagi tempoh Januari hingga Disember 2018 adalah sebanyak RM 20,592,934.69 (RM 20.592 juta) dan kos yang dibelanjakan bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 adalah sebanyak RM 7,109,080.64 (RM 7.109 juta) yang merangkumi aktiviti – aktiviti seperti berikut;-

    1. Promosi Selangor International Business Summit 2019;
    2. Program pembangunan dan latihan usahawa-usahawan secara on-line dan lain – lain yang berkaitan;
    3. Misi promosi pelaburan ke luar Negara dan juga penglibatan dalam pameran tempatan dan luar Negara;
    4. Libat urus (engagement) dengan pelabur sedia ada menerusi program dialog, lawatan kilang, penyelesaian masalah dan lain – lain yang berkaitan;
    5. Penerbitan bahan – bahan promosi pengiklanan, penerbitan artikel, Investment Guide Book dan lain – lain bahan promosi

     

    Dari segi peratus perbelanjaan berbanding dengan nilai pelaburan yang diluluskan, bagi tahun 2018, Invest Selangor hanya membelanjakan sebanyak 0.1% bagi menarik pelaburan berjumlah RM 18.947 bilion. Manakala bagi tahun 2019, sebanyak 0.4% kos yang dibelanjakan bagi menarik pelaburan berjumlah RM 1.522 bilion.

Lampiran

Tiada Lampiran.