Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

5) PELUANG PEKERJAAN UNTUK GOLONGAN ANAK MUDA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah telah ada kerangka besar pembangunan anak muda yang kini merupakan lebih 40% warga Selangor?

    Populasi belia di dalam Negeri Selangor adalah:

    • 3 juta berbanding 6 juta rakyat Negeri Selangor

    (statistik daripada Institute for Youth Research Malaysia – IYRES).

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri membentuk satu dasar yang menyeluruh dalam kerangka besar bagi pembangunan belia Selangor. Dasar ini dikenali sebagai Dasar Belia Selangor, hasil dapatan kajian daripada kumpulan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia.

    Beberapa teras yang telah dikenalpasti hasil daripada kajian ini adalah:-

    • Pendidikan dan Kemahiran,
    • Keusahawanan dan Pekerjaan,
    • Kepimpinanan dan Organisasi,
    • Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),
    • Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan,
    • Kesejahteraan dan Kecergasan,
    • Kebudayaan dan Kesenian,
    • Agama dan Akhlak serta

     

    Di peringkat Kerajaan Persekutuan pula, terdapat dua teras utama iaitu:-

    1. Teras Pembangunan Belia Berteraskan Dasar Belia Malaysia; dan
    2. Teras Pemerkasaan Kemahiran Berlandaskan Transformasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

     

    Bagi teras yang pertama iaitu Pembangunan Belia Berteraskan Dasar Belia Malaysia, bakat dan potensi belia akan diperkasakan. Kerajaan akan menyediakan pelbagai peluang bagi belia agar dapat meningkatkan potensi serta bakat ke arah taraf hidup yang lebih baik. Ini termasuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan jatidiri yang sewajarnya. Teras ini juga berperanan untuk menyediakan anak muda dengan pelbagai kemahiran yang melangkaui pengetahuan akademik bagi memenuhi permintaan kerja dan sekaligus membentuk masyarakat yang benar-benar maju dari segala aspek.

     

    Bagi teras Pemerkasaan Kemahiran Berlandaskan Transformasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kerajaan berhasrat untuk mentransformasikan kemahiran dan keusahawanan dalam meningkatkan ekonomi belia. Ini dilakukan dengan memberi fokus kepada meningkatkan latihan kemahiran TVET yang memenuhi permintaan industri; meningkatkan keberkesanan dan kualiti latihan TVET; memperkasakan kerjasama dan jalinan dengan agensi dan industri, dan membudayakan keusahawanan dalam kalangan belia.

     

  2. Apakah peluang pembangunan ekonomi kepada anak muda?

    Kadar pengganguran di Selangor yang direkodkan adalah seperti berikut:-

    1. 2016 (3.2%)
    2. 2017 (2.8%)
    • 2018 (2.8%)

    Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

    Kerajaan Negeri meletakkan sasaran bagi tahun 2019 adalah kadar pengganguran di Selangor menurun kepada 2.5%.

    Antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan meningkatkan pelbagai program pembangunan ekonomi belia sebagaimana berikut:

     

    1. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

     

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan program Karnival Kerjaya (Job Fair) secara berkala (2 kali setahun). Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Jobs Malaysia bermula pada tahun 2014.

     

    Program Selangor Mega Job Fair pada awal tahun ini adalah program pertama kali berskala mega. Ia melibatkan sebanyak 180 syarikat swasta terpilih dengan mengadakan temuduga terbuka (walk in interview). Sebanyak 180 majikan dan 20 Agensi /Jabatan Kerajaan terlibat. Daripada jumlah itu, lebih 12,000 peluang telah ditawarkan dan 20 majikan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pada hari tersebut.

     

    Hampir 20,000 pengunjung mendapat manfaat melalui program ini. Jumlah permohonan yang berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan pada hari tersebut adalah seramai 237 orang dan seramai 3,482 orang pemohon telah berjaya ke temuduga ke 2. Program yang dilaksanakan ini telah berjaya melibatkan pemohon berdaftar seramai 25,199 orang yang mana seramai 15,623 orang telah berjaya untuk ditemuduga. Daripada jumlah calon yang telah ditemuduga tersebut, seramai 4,790 orang yang telah berjaya mendapat pekerjaan.

     

    Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran. Ia turut membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.

     

    1. Kursus/Latihan di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan

    Salah satu program adalah program latihan bersama Farm Fresh. Program ini adalah berbentuk melatih usahawan muda untuk menjadi usahawan menjual produk tenusu. Program ini akan berlangsung selama 3 bulan dengan kerjasama Farm Fresh dan seusai program ini, para pelatih dijangka akan mendapat keuntungan bersih berjumlah RM1,500.00 sebulan.

    Program latihan ini turut memberi menekankan konsep hand holding dimana setiap langkah dalam dunia usahawan akan diberikan panduan teliti. Untuk rekod, program ini telah berjaya melahirkan beberapa usahawan muda berjaya seperti Bapa Susu.

     

    1. Pendidikan Kemahiran dan Vokasional

    Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional di Kolej INPENS dengan yuran yang berpatutan bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini telah menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan vokasional dan pembiayaan pelajaran berdasarkan kelayakan pemohon.

     

    1. Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS)

    Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan melalui kursus dalam bidang –  bidang seperti berikut:

    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
    • Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
    • Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
    • Kursus Keusahawanan Penternakan
    • (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
    • Kursus Soft Skills Usahawan Penternakan & Pengurusan Kewangan (Online)
    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Sembelihan Halal & Penyediaan Makanan (BBQ)
    • Mobile Service Aircond
    • Cuci Kasut
    • Mobile Barber
    • Ayam Gunting
    • Terapi Bekam
    • Bakery
    • Mobile Spa
    • Dekorasi Pelamin
    • Kiosk Sate

     

    Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Pada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi bagi purata pendapatan berjumlah RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).

     

    1. Program di bawah agensi

     

    1. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

     

    • Program Perintis Usahawan (PPU)

    Program Perintis Usahawan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (dulu dikenali sebagai Jabatan Pelajaran Negeri Selangor). Objektif program ini adalah untuk memupuk semangat keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah. Enam (6) buah sekolah rendah telah terpilih sejak dimulakan pada tahun 2007.

     

    • Program Tunas Niaga (PROTUNe)

    Dalam membudayakan usahawan muda yang berjaya dan berpengetahuan, Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah diperkenalkan di Negeri Selangor pada tahun 1998 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD).

     

    • Program Usahawan Siswazah (GROW)

    Program Usahawan telah dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sejak tahun 2003 dengan memberi fokus latihan dan pembudayaan dalam kalangan mahasiswa di lapan (8) institusi-institusi pengajian tinggi seperti berikut:

    1. Universiti Teknologi Mara (UiTM)
    2. Universiti Putera Malaysia (UPM)
    • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
    1. Universiti Industri Selangor (UNiSEL)
    2. INSPENS Insternational College
    3. Kolej Universiti Selangor (KUIS)
    • International Islamic Universiti Malaysia (UIA)
    • City University (City U)

     

    Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

    Kerajaan Negari telah melaksanakan pelbagai Program kepada Generasi Muda yang berminat untuk menceburi sektor pertanian sebagaimana  berikut :-

    1. Program Agro Muda Selangor (AMSEL)
    2. Program Bantuan Peralatan Pertanian
    3. Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda
    4. Pembukaan Tanah Pertanian
  3. Apakah perancangan kepada anak muda yang tidak dapat memasuki IPT dan Pusat Kemahiran TVET?

    Perancangan kepada anak muda:-

    1. Program TVET atau Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) merupakan satu mekanisme yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha mendepani pembangunan latihan kemahiran teknikal dan ikhtisas kepada anak muda di Negeri Selangor.

     

    1. Oleh itu, Kerajaan Negeri sedang menyediakan kerangka ekosistem Program IKTISASS yang kemprehensif dan holistik merangkumi semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda. Oleh itu, bagi anak muda yang tidak dapat memasuki IPT dan Pusat Kemahiran TVET kerajaan negeri akan menyediakan kursus kemahiran dan teknikal jangka pendek dalam membantu meningkatkan keboleh pasaran mereka. Antara penekanan yang akan diberikan kepada peserta ialah elemen pembangunan bakat dan kemahiran bagi menaik taraf sumber tenaga manusia kepada lebih kompeten dan produktif.

     

    1. Oleh itu, melalui usaha ini kerajaan negeri berharap ia dapat membantu golongan anak muda tersebut dapat meningkatkan potensi diri seterusnya menceburi bidang kerjaya dan meningkat pendapatan ekonomi mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.