Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

2) INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR) NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah dana yang diperuntukkan untuk setiap program IPR bawah Kerajaan Negeri?

    Jumlah dana yang diperuntukkan untuk setiap program IPR di bawah

    Kerajaan Negeri adalah seperti berikut ( Lampiran I).

  2. Apakah program-program IPR yang masih aktif dan apakah program-program yang telah diberhentikan?

    Ramai di kalangan Ahli Dewan Negeri telah membangkitkan mengenai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri. Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) ini diwujudkan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela serta memenuhi wawasan ‘shared prosperity’.

    Kerajaan Negeri turut mendengar keluhan dari rakyat (penerima IPR) yang amat risau program IPR tidak dapat diteruskan dan dengan pertukaran pengurusan baharu kerajaan, mereka juga turut merasakan ia mungkin dibatalkan serta berpendapat bahawa program IPR ini adalah program jangka pendek.

     

    Sukacita dimaklumkan di sini, program IPR adalah program jangka panjang kerajaan yang bertujuan untuk membantu rakyat dan seterusnya matlamat akhir kerajaan adalah mengiatkan usaha untuk memberdaya rakyat.

     

    Bagi tahun 2019, agenda pelaksanaan program-program IPR diteruskan secara lebih holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan semata-mata tetapi memberi daya melalui pemerkasaan (empowerment) kepada para penerima manfaat IPR di Selangor.

     

    Oleh itu, sudah tiba masanya Negeri Selangor, mengorak langkah ke suatu paradigma yang baru sejajar dengan cita-cita untuk menjamin kebajikan rakyat negeri berteraskan suatu upaya strategik dalam menguruskan sumber negeri yang terbatas.

     

    Selain itu, penjajaran IPR juga akan mengambil kira perkara seperti

    berikut:

     

    1. i) Memberi fokus kepada kumpulan sasar yang tepat;
    2. ii) Penekanan konsep daripada pemberian kepada

    pengupayaan (empowerment); dan

    iii) Penekanan kepada program-program kesedaran

     

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 1/2019 melalui cabutan telah memutuskan supaya penjajaran dan penyusunan semula IPR perlu dimuktamadkan segera mengikut cadangan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

     

    Sehubungan itu, UPEN telah menganjurkan Persidangan Pengendali IPR pada 25 hingga 26 Februari 2019 bagi membincangkan cadangan penjajaran dasar dan program IPR sedia ada dan seterusnya memperkasakan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri Selangor.

     

    Hasil daripada persidangan tersebut, 43 Program IPR telah dicadangkan untuk dijajarkan kepada 3 kategori utama yang menjadikan jumlah program IPR terkini adalah sebanyak 34 program iaitu seperti berikut:

    •  Diteruskan seperti ada (merangkumi 20 Program IPR);
    • Diteruskan Dengan Penjajaran iaitu secara:
    • Pindaan dari segi perubahan program, syarat kelayakan, mekanisme pelaksanaan, kuota penerima dan lain-lain            pindaan  (merangkumi 14 Program IPR); dan
    • Kolaborasi dengan program IPR sedia ada (merangkumi 9
    • Program IPR)

     

    (Keterangan lanjut seperti lampiran II)

  3. Sudahkah kita memuktamadkan proses pengemaskinian, terma dan syarat untuk program KISS dan Peduli Sihat?

    Seperti yang kita semua sedia maklum, satu tempoh pengemaskinian bagi Skim Peduli Sihat telah dilakukan pada 1 Mei 2019 sehingga 31 Mei 2019 manakala untuk Program KISS pada 15 Jun 2019 sehingga 15 Julai 2019.

    Proses pengemaskinian ini melibatkan proses semakan silang data penerima sedia ada KISS dan Peduli Sihat dengan data peserta E-Kasih dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, proses pengemaskinian           ini telah menetapkan syarat kelayakan baru seperti berikut. Bagi Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS):-

    • Warganegara Malaysia;
    • Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi tempoh 10 tahun;
    • Wanita berkeluarga (berkahwin atau ibu tunggal) yang mempunyai anak/tanggungan di bawah umur 21 tahun;
    • Berpendapatan bulanan seisi rumah di bawah RM2,000.00; dan
    • Berdaftar sebagai pemohon Bantuan Sara Hidup (BSH) di bawah kategori pendapatan RM 2000.00 dan ke bawah atau tersenarai sebagai golongan miskin atau miskin tegar di pengkalan data Sistem e-Kasih.
    • Pemilih berdaftar di Negeri Selangor.

     

    Bagi Program Peduli Sihat pula, terma dan syarat adalah seperti berikut:-

     

    • Warganegara Malaysia yang lahir di Negeri Selangor atau telah menetap di Negeri Selangor melebihi 10 tahun;
    • Bagi kategori keluarga, pendapatan isi rumah sebanyak RM2,000 dan ke bawah;
    • Bagi kategori Individu, berumur 21 tahun dan keatas dan pendapatan RM1,500 dan ke bawah;
    • Tersenarai dalam data E-Kasih (miskin tegar dan miskin) atau penerima Bantuan Sara Hidup bagi tahun 2018; dan
    • Pemegang kad yang aktif dalam tempoh 2 tahun.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat juga, fasa pertama pengemaskinian data penerima KISS dan Skim Peduli Sihat ini telah pun selesai. Walaubagaimanapun proses semakan dan verifikasi akan diteruskan sehingga Disember 2019 dengan mengambil kira maklum balas daripada pihak Pusat Khidmat DUN.

Lampiran

Tiada Lampiran.